Monday 28 November 2011

CINA MUSLIM

     Cina Muslim adalah suatu realiti di dunia. Bilangannya tidak kurang ramainya di dunia. Namun pandangan masyarakat di Malaysia bila disebut orang cina, pasti umat muslim secara automatiknya membayangkan bayangan orang kafir yang beragama Bhudda. Ini adalah simptom yang negatif, perlu dikikis dalam benak seorang muslim. Sampaikan masyarakat sudah lali dengan sebutan 'agama Cina' yang secara hakikatnya bukanlah istilah yang tepat kerana cina bukanlah suatu agama, tapi suatu bangsa. Serupalah seperti istilah 'agama Melayu'. Istilah yang tidak tepat, bahkan kita merasa janggal.


     Masyarakat Cina Muslim di Malaysia seolah-olah 'third class muslim'. Mereka kurang mendapat perhatian oleh masyarakat muslim yang lain. Mereka juga mendapat layanan yang kurang baik daripada masyarakat dan juga institusi kerajaan yang menguruskan hal ehwal mualaf. Sehinggakan hak mereka juga seolah-olah dinafikan sebagai asnaf zakat. Sebahagian daripada mereka juga berhak mendapat dua bahagian dalam asnaf zakat iaitu sebagai mualaf dan orang miskin, namun apa yang mereka dapat hanyalah layanan yang buruk. Maka tidak hairanlah sekiranya kita melihat kebanyakan orang Cina lebih memilih jalan selain Islam kerana sikap masyarakat Muslim di Malaysia tidak langsung mencerminkan Islam itu sendiri. Maka, kebanyakan mereka langsung tidak tertarik terhadap Islam meskipun sudah bertahun lamanya hidup di negara majoriti Muslim.

     Mungkin kita lupa hutang yang perlu dibayar kepada masyarakat Cina. Hutang yang pastinya belum langsai. Hutang yang pasti akan di'tagih' oleh mereka di akhirat kelak.

Teori Kedatangan Islam Melalui China

(Gambar hiasan)

     Cina merupakan suatu bangsa yang gah di dunia, dan tidak kurang besar sumbangannya dalam tamadun Islam. Kalau kita lihat hari ini di negara China yang mempunyai bilangan penduduk lebih daripada 1.5 juta,  sekurang-kurangnya 20 juta Muslim. Namun angka ini terlalu kecil berbanding dengan angka yang sebenarnya. Saya percaya, bilangannya mencecah 100 juta, dan mungkin lebih daripada itu sekiranya kita menilai faktor sejarah yang sahih. Sejarah membuktikan bahawa Islam sudah datang ke Negara China seawal tahun 650 Masihi oleh rombongan yang diketuai oleh Sa'ad Bin Abi Waqqas, seorang sahabat Nabi Muhammad, sebagai perwakilan rasmi kepada Maharaja Gaozong.

(Gambar Masjid Cina)

     Kedatangan rombongan yang dihantar oleh Khalifah Uthman itu menjadi titik mula penyebaran Islam di bumi China. Maharaja Tang yang menerima rombongan itu mengarahkan pembinaan masjid peringatan di Canton, yang merupakan masjid pertama yang dibina di negara itu. Zaman Dinasti Tang adalah zaman keemasan China dengan budaya kosmopolitan yang membantu memperkenalkan agama Islam. Pemastautinan orang Islam pertama di China terdiri daripada saudagar Arab dan Parsi. Di kawasan tersebut, kabilah Hui Chi menerima Islam, dan nama tersebut menjadi permulaan kepada rujukan terhadap huihui atau Hui sebagaimana yang mereka dikenali hari ini.

     Pada zaman pemerintahan Bani Umayyah, Khalifah Al-Walid telah menghantar pasukan tenteranya ke sempadan Negeri China. Ketua pasukan tentera tersebut telah menghadap raja China dan berunding dengannya. Menurut catatan Cina, pada abad ke-9, ramai penduduk di sebelah selatan negara China khususnya Yunan, China telah memeluk Islam. 

     Pada suatu masa, berlaku huru hara di daerah Yunan tersebut, lalu ramai Muslim berhijrah ke Asia Tenggara. Antara mereka ada yang menetap di Champa, Kemboja dan ada juga yang menetap di Negeri Pantai Timur Tanah Melayu.Oleh sebab itulah,sesetengah seni bina masjid lama di Kelantan dan Demak, Indonesia mempunyai senibina Cina. 

     Sesetengah ahli sejarawan tempatan berpendapat kedatangan Islam ke Nusantara melalui China telah berlaku pada akhir abad ke-10 dengan awal abad ke-11. 

     Emanuel Godinho De Evedia mengatakan Islam datang ke Nusantara dari China melalui Canton dan Hainan pada kurun ke-9 Masihi. Penemuan ini terbukti hasil penemuan batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu yang terletak di Pantai Timur Tanah Melayu. 

Perkembangan Cina Muslim di Malaysia


(Gambar kanak-kanak Cina Muslim)


     Meskipun bilangannya terlalu sedikit, namun masyarakat Cina Muslim mempunyai sejarahnya yang panjang di Tanah Melayu dan telah wujud sekurang-kurangnya 600 tahun yang lampau. Mereka terdiri daripada pedagang dan penduduk yang berhijrah ke Tanah Melayu. Ketika Tanah Melayu di era penjajahan, perkembangan mereka sangat perlahan kerana faktor penjajah. Polisi yang dibuat oleh penjajah menyebabkan hubungan perdagangan antara Tanah Melayu dan China merosot, sekaligus membantutkan perkembangan Cina Muslim di Tanah Melayu. Sehingga tahun 1908, masyarakat Cina Muslim hanyalah sedikit berbanding dengan masyarakat Cina bukan beragama Islam. Berikut merupakan statistik pada tahun 1908:



Jumlah Populasi Cina
Cina Muslim
Jumlah Populasi Muslim

Negeri-negeri selat




Singapura

164.041

4.920   (3%),(8.8%)*    

55.673

Pulau Pinang & Seberang Perai

98.424

2.952   (3%), (2.2%)

134.110

Melaka

19.394

   880   (4.5%), (1%)

77.495




Persekutuan melayu bersekutu




Kesultanan Perak

149.375

4.479  (3%), (2.7%)

164.746

Kesultanan Pahang

8.695

  258  (3%), (0.3%)

74.745

Kesultanan Negeri Sembilan

32.901
  
 987  (3%), (1.6%)

60.749

Kesultanan Selangor

108.768

3.251  (3%), (6.2%)

52.478




Borneo Utara British

Sabah, Sarawak & Labuan

200  (0.48%), (sebilangan kecil) 

        41.220




* Angka-angka dalam kurungan adalah nisbah Cina Muslim masing-masing kepada jumlah penduduk Cina dan jumlah umat Islam.



     Daripada statistik di atas, kita dapat melihat bahawa bilangan Cina Muslim menunjukkan 17,927 daripada   581,598 penduduk Cina dan daripada 661,216 jumlah penduduk Islam kaum-kaum lain. Cina Muslim  mewakili 3%  penduduk Cinadan hanya 2.7% daripada semua umat Islam.

     Kemudian masyarakat Muslim Cina terus berkembang dengan kadar yang agak perlahan sehingga ke hari ini. Menurut statistik Banci 2000, 75.9% orang Cina mengaku beragama Buddha, diikuti ramai penganut Taoisme (10.6%) dan Kristian (9.6%), di samping sebilangan kecil Hui-Muslim di tempat-tempat tertentu seperti Pulau Pinang. Bilangan mereka hanyalah lebih kurang 1% daripada 7.5 juta masyarakat Cina keseluruhannya.

     Walaubagaimanapun, pergerakan Cina Muslim semakin aktif dengan wujudnya persatuan seperti Malaysian Chinese Muslim Association (http://www.macma.org.my/). Selain itu, kebanyakan daripada mereka sudah mula menceburi profesion pendakwah bebas yang nampaknya mula memberi impak terhadap perkembangan agama Islam di Malaysia.

(Dato' Mustapha Ma- Presiden MACMA)

(Syeikh Hussein Yee- pendakwah terkenal)

Kesimpulan


     Secara kasarnya, kedatangan masyarakat Cina ke tanah Melayu mempunyai 2 fasa. Fasa pertama ialah sebelum penjajahan ke atas Tanah Melayu. Mereka terdiri daripada pedagang-pedagang yang datang dan singgah di Tanah Melayu yang kebanyakannya beragama Islam. Mereka inilah antara golongan yang membawa Islam ke Tanah Melayu. Manakala Fasa Kedua ialah selepas kedatangan Penjajah. Mereka terdiri daripada buruh-buruh yang dibawa oleh British dan majoritinya bukan beragama Islam. Dan keturunan golongan inilah yang mendiami Tanah Melayu sehingga sekarang.

     Maka, langsaikanlah hutang kita terhadap mereka. 'Nenek moyang' mereka telah membawa hadiah Islam untuk kita, maka kita balaslah balik dengan hadiah yang serupa kepada 'cucu cicit' mereka yang belum mendapat petunjuk-Nya. Dan layanlah mereka dengan sebaik-baiknya kerana kita semua sama di sisi Allah. Yang membezakan hanyalah ketakwaan.

Wallahu A'alam.

   
Rujukan


1. Tamadun Islam Dan Tamadun Asia Tenggara, Azhar Md Aros.
2. http://ms.wikipedia.org/wiki/Islam_di_China
3. http://ms.wikipedia.org/wiki/Kedatangan_dan_Penyebaran_Islam_di_Nusantara
4. http://www.scribd.com/doc/36358480/Teori-Kedatangan-Islam-Ke-Alam-Melayu
5. http://210.0.141.99/eng/malaysia/ChineseMuslim_in_Malaysia.asp
6. http://www.emel.com/article?id=77&a_id=2139

2 comments: