Sunday 1 April 2012

WASATIYYAH: SATU TINJAUAN

(Artikel ini telah diterbitkan dalam risalah Huffaz Digest-last edition terbitan BPI Team, Pensijilan DQ-UIAM 2011-2012)

     Beberapa minggu yang lepas, sebelum cuti semester, saya diminta oleh sahabat saya untuk menulis satu artikel bekenaan wasatiyyah untuk dimuatkan dalam Huffaz Digest. Sejujurnya, saya bukanlah orang yang paling layak untuk menulis berkenaan dengan tajuk ini. Namun, saya akan kongsikan apa yang termampu. Pertama-tamanya saya ingin memohon kemaafan atas kekurangan artikel ini memandangkan saya baru sahaja mula menulis beberapa hari sebelum dateline yang diberikan. Kebanyakan waktu penulisan saya ketika berada dalam komuter memandangkan masa yang terhad dek kesibukan urusan lain. Saya menulisnya ringkas tanpa sertakan sekali nas dan petikan rujukan oleh kerana saya menulis pada waktu kecederaan. Akan datang, saya berhajat untuk menulis semula berkaitan tajuk ini dengan lebih terperinci beserta nas dan rujukan di laman blog saya. Jadi saya menuntut sahabat semua untuk menjengah blog saya pada masa akan datang agar sahabat semua dapat memahami dengan baik apa yang cuba saya kongsikan di sini.

Pengenalan Manhaj

     Wasatiyyah adalah suatu manhaj yang mula kencang dilaungkan oleh tokoh-tokoh agama mutakhir ini. Tidak kurang juga banyak seminar yang dilangsungkan untuk mempromosikan manhaj ini. Antara tokoh yang terkehadapan dalam mendokong manhaj ini ialah Dr Yusof Al-Qaradhawi. Namun hakikatnya, manhaj ini sudah lama dijaja oleh ulama’ zaman berzaman. Al-Imam Izzuddin Abdus Salam antara orang yang terawal menggunakan manhaj ini dalam penulisan beliau.

(Gambar Dr. Yusof Al Qaradhawi)