Wednesday 4 January 2012

PENCERAHAN TERHADAP UMUR SEBENAR SAIDATINA KHADIJAH KETIKA MENGAHWINI RASULULLAH



Alhamdulillah, akhirnya Allah memeberikan saya kesempatan untuk terus menulis dan berkongsi Ilmu sesama umat manusia. Kali ini saya ingin mengetengahkan satu isu yang tidak kurang pentingnya, iaitu 'Pencerahan Terhadap Umur Sebenar Saidatina Khadijah Ketika Mengahwini Rasulullah'.

Perlunya Pencerahan Dalam Isu Ini

Sebelum saya membawa perbahasan ini lebih jauh, suka untuk saya menyatakan mengapa pencerahan ini perlu dilakukan.

Saidatina Khadijah merupakan satu nama yang penting dalam sejarah ketamadunan Islam. Tambahan pula, beliau adalah isteri pembawa risalah Islam. Maka segala fakta berkenaannya perlu dipelihara. Apakah yang akan terjadi sekiranya fakta tentang beliau tidak dipelihara? Sudah pasti kita akan memudahkan musuh Islam untuk menghukum Islam melalui fakta yang batil tersebut.

Benarkah Saidatina Khadijah Berumur 40 Tahun Ketika Berkahwin Dengan Nabi?

Umum diketahui masyarakat bahawa Nabi mengahwini Saidatina Khadijah yang berumur 40 tahun ketika Baginda berumur 25 tahun. Ilmuan hadis dan ahli sejarah sepakat bahawa ketika berlangsungnya perkahwinan tersebut, Nabi berumur 25 tahun. Tapi apakah benar Saidatina Khadijah berumur 40 tahun, iaitu 15 tahun lebih tua daripada Nabi? Yang pasti, pendapat tersebut masyhur, sehingga termaktub dalam buku-buku teks yang diterbitkan oleh kementerian. 

Sekiranya benar, pastinya timbul beberapa persoalan:

1. Wujudkah riwayat yang tsabit bahawa Saidatina Khadijah berumur 40 tahun ketika mengahwini Nabi Muhammad?

Melalui perbahasan ulama', mereka tidak menemui sebarang hadis yang sahih dan jelas menunjukkan umur sebenar Saidatina Khadijah ketika menikahi Baginda, tidak seperti Saidatina Aisyah yang disebutkan secara jelas berkenaan umurnya melalui hadis tang diriwayatkan oleh Urwah. Yang ada hanyalah riwayat-riwayat yang tidak pasti sumbernya.

2. Saidatina Khadijah lebih subur pada usia tua berbanding usia muda?

Sebelum menikahi Baginda, Saidatina Khadijah telah bernikah sebanyak dua kali. Perkahwinan pertama ialah dengan Abu Halah Hind Bin Banash Bin Zararah. Beliau dikurniakan seorang anak lelaki yang bernama Hind, dan seorang anak perempuan yang bernama Halah. Setelah kematian Abu Halah, Khadijah r.a. mengahwini Atiq Bin 'Aid Makhzumi. Daripada perkahwinan tersebut, beliau mendapat seorang anak perempuan yang juga bernama Hind. Maka, jumlah anak yang dilahirkannya pada waktu muda ialah 3 orang.

Sekiranya kita mengatakan bahawa beliau mengahwini Nabi pada umur 40, maka anak yang dilahirkan hasil perkongsian hidup dengan Nabi dilahirkan pada umur 40 tahun dan ke atas, iaitu pada fasa waktu tua beliau. Daripada perkongsian hidup itu, lahir 4 orang anak perempuan; Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum dan Fatimah r.a., juga 3 orang anak lelaki; Qasim, Tayyab dan Tahir. Kesemuanya 7 orang.

Di sini, timbul satu persoalan, adakah logik bahawa Saidatina Khadijah r.a. telah melahirkan 3 orang anak sahaja pada usia muda, dan 7 orang anak pada usia tuanya? Menurut sains perubatan, seorang wanita menjadi tidak subur untuk melahirkan anak apabila usia melewati 45 tahun. Bagaimana pula dipercayai bahawa 7 orang anak telah dilahirkan setelah melepasi usia 40 tahun.

3. Ruqayah dan Ummu Kalthum tidak dilahirkan Saidatina Khadijah r.a.?

Sekiranya kita mempercayai bahawa Khadijah berumur 40 tahun semasa menikahi Nabi, maka Khadijah sudah berumur 60 tahun semasa melahirkan Fatimah r.a.. Dengan ini tidak mungkin Ruqayyah dan Ummu
Kalthum adalah anak kepada Khadijah kerana mereka adalah lebih muda dari Fatimah. Namun disisi Syiah, mereka memegang pandangan tersebut 

Berapakah Umur Sebenar Khadijah R.A. Ketika Menikahi Nabi?


Sekiranya kita membuat penilaian yang teliti, pendapat yang mengatakan Khadijah r.a berkahwin dengan Nabi Muhammad S.A.W. bukannya pada umur 40 adalah tidak pelik dan asing. Hal ini kerana ia disebut dalam kebanyakan kitab-kitab sirah dan sejarah. Hampir semua kitab sirah yang muktabar menyebut lebih daripada satu pendapat. Hatta Wikepedia sekalipun menyatakan beberapa pendapat berkenaan dengan umur sebenar beliau ketika menikahi Baginda. Antara pandangan lain selain 40 tahun ialah 35 tahun, 30 tahun, 27 tahun, dan 25 tahun. Sebagai contoh, saya petik beberapa petikan dalam kitab al-Bidayah wan Nihayah oleh Ibnu Katsir:

وَهَكَذَا نَقَلَ الْبَيْهَقِيُّ عَنِ الْحَاكِمِ أَنَّهُ كَانَ عُمُرُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ تزوَّج خَدِيجَةَ خَمْسًا وَعِشْرِينَ سَنَةً وَكَانَ عُمُرُهَا إِذْ ذَاكَ خَمْسًا وَثَلَاثِينَ - وَقِيلَ خَمْسًا وَعِشْرِينَ سَنَةً


“Baihaqi telah memetik daripada Hakim iaitu apabila Rasulullah mengahwini Khadijah r.a., baginda s.a.w. adalah berumur dua puluh lima tahun dan Saidatina Khadijah r.a. berumur tiga puluh lima tahun, dan ada pendapat lain mengatakan usianya dua puluh lima tahun.” (al-Bidayah, Jilid II, m/s 295) 

Dengan perkataan lain, Baihaqi dan Hakim menyatakan bahawa Saidatina Khadijah r.a. berusia tiga puluh lima tahun pada waktu itu. Bersama-sama dengan itu, mereka juga turut mengatakan bahawa ada pendapat bahawa beliau r.a. berusia dua puluh lima tahun.

Di tempat lain , Hafiz Ibn Kathir mengatakan usia Saidatina Khadijah r.a. pada masa kewafatannya, sebagaimana berikut:

وَبَلَغَتْ خَدِيجَةُ خَمْسًا وَسِتِّينَ سَنَةً، وَيُقَالَ خَمْسِينَ.
وَهُوَ أَصَحُّ


 “Usia Saidatina Khadijah mencapai 65 tahun. Satu pendapat mengatakan beliau meninggal pada usia 50 tahun. Dan pendapat ini (iaitu 50 tahun) adalah yang benar.” (al-Bidayah wan Nihayah, Jilid II, m/s 294)

Ulama Hadis dan ahli sejarah bersetuju bahawa Saidatina Khadijah r.a. menjalani hidup sebagai isteri Rasulullah s.a.w. selama 25 tahun dan beliau r.a. meninggal dunia pada tahun ke-10 Kerasulan. Hafiz Ibn Kathir berkata; ‘pendapat yang benar adalah usianya mencecah 50 tahun’ telah membuktikan bahawa usia Saidatina Khadijah pada masa perkahwinannya ialah 25 tahun. Dan juga, Hafiz Ibn Kathir juga telah membuktikan bahawa ‘maklumat’ yang diterima pada hari ini (iaitu umur Khadijah r.a. 40 semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. ) adalah salah dan tidak benar sama sekali..

Akibat Tidak Menyelidiki Fakta

Pihak Orientalis dan musuh-musuh Islam telah memberi perhatian yang khusus terhadap isu ini dengan menjaja fakta yang rapuh ini bersandarkan riwayat yang tidak berasas ini. Dengan mendedahkan peristiwa ini, maka Islam di wayangkan dengan agama yang tidak logik (rujuk persoalan nombor 2), dan Nabi dituduh dengan tuduhan yang hina kerana dikatakan bahawa Baginda menikahi wanita tua kerana harta.

Pada pandangan Syiah pula, mereka berpegang dengan pandangan yang rapuh ini, justeru mereka boleh mendakwa bahawa Zainab, Ruqayyah dan Ummu Kalthum tidak diiktiraf sebagai anak Nabi.  

Namun kita boleh mempersoalkan kembali kepada orang Syiah, bagaimana seseorang wanita yang berusia 60 tahun boleh melahirkan anak (Fatimah lahir pada tahun ke-5 kenabian, iaitu 20 tahun selepas perkahwinan Khadijah dengan Rasulullah). Dan apabila mereka membuktikannya, mereka mesti membuktikan juga bahawa Fatimah r.a. adalah anak kepada Khadijah r.a..


Kesimpulan

Pendapat yang mengatakan Saidatina Khadijah menikahi Rasulullah pada umur 40 tahun tidak mempunyai sandaran yang kuat. Pendapat yang mengatakan Saidatina Khadijah menikahi Rasulullah pada umur 25 tahun adalah yang terpilih. Pendapat ini juga yang dipegang oleh Al Hafiz Ibnu Katsir dengan hujah yang telah dibicarakan tadi. 

Rujukan


1. Siratun Nabi, jilid 2
2. Ibnu Katsir, Al Bidayah Wan Nihayah, Jilid 2, Maktabah Syamilah
4. Hazrat Allama Mohammad Habibur Rahman Kandhalwi, Pemurnian Sejarah: Umur Saidatina Aisyah   
    Semasa Bernikah Dengan Rasulullah S.A.W..

Wallahu A'lam

3 comments:

  1. Salam wbt. Wan, pencerahan yang sangat baik. Tapi bersandarkan background dan mental block yang mengatakan dari dulu Khadijah RA was 40 at the time she married Rasulullah, memang this fact is very new. Nanti bawak mai DQ tau sumber anta ni, nak tengok sekali :D

    ReplyDelete
  2. InsyaAllah, nnt kte k0rek dlm2 agy perbahasan nie...

    ReplyDelete
  3. Khadijah wafat stelah berapa tahun kenabian?

    ReplyDelete