Saturday 5 November 2011

BARU SEMALAM AKU MENYELAMI HIDUP SEBAGAI MUSAFIR ILMU

    Baru semalam aku merasakan hidup sebagai musafir ilmu, berkelana mencari kuliah agama. Walaupun musafirku tidaklah sejauh mana, namun ia merupakan sesuatu kelainan bagiku kerana kebaiasaannya aku mengutip ilmu yang sudah terhidang dan dicurahkan oleh mualim-mualim di institusi pendidikan, tanpa perlu mencari, malah diberi. Dan sebenar-benarnya, lumrah ilmu, dicari, bukan mencari penuntut ilmu.


    Bagiku, ini sesuatu yang agak baru, namun bagi mereka, pencinta ilmu, mereka sudah biasa dengan hidup sebagai musafir ilmu. Contohnya seperti beberapa abang-abang seniorku di Darul Quran, kelihatannya mereka sangap mencari ilmu. Oleh sebab mereka dahagakan ilmu, mereka sanggup pergi jauh untuk hadir ke kuliah-kuliah yang dianjurkan. Hujung minggu di kala pelajar lain sibuk 'berlibur', mereka pergi ke pengajian di Batang Kali, Gombak dan lain-lain. Banyak duit mereka habis di jalan 'ke syurga'. Kekadang, mereka sanggup menyewa kereta prebet untuk ke tempat kuliah dan membawanya sendiri. Malam pula bagi mereka cukuplah sekadar tempat yang boleh berehat dan kebiasaannya mereka memilih Rumah Allah sebagai singgahsana di malam hari. Bukan sekadar itu sahaja, mereka selalunya mengorbankan cuti semester mereka berjumpa dengan ilmuwan-ilmuwan di tanah air tercinta untuk menimba serba sedikit ilmu. Cuti semester ini, aku dengar mereka akan membuat daurah nahu  (kursus menguasai tatabahasa Arab) di Kelantan. Aku melihat pada mereka raut wajah Musafir Ilmu Sejati


    Bagaimana pula dengan as-Syafie? al-Hambali? al-Bukhari? al-Ghazali? dan banyak lagi yang lain. Bagaimana dengan sikap mereka terhadap ilmu? Mereka juga Musafir Ilmu. Kalau tadi aku sudah menceritakan musafir abang-abang seniorku yang banyak berkorban demi berada di 'Jalan Syurga'. Bagaimana pula dengan ulama-ulama' yang aku sebutkan tadi? al-Imam as-Syafie pantang mendengar nama ulama' kerana beliau akan menjadi musafir ilmu mencari ulama' untuk menimba ilmu tidak kira walaupun ulama' itu tinggal jauh dan sanggup berjalan kaki kerana ketiadaan kenderaan tunggangan. al-Imam al-Bukhari (lahir tahun 194H, wafat tahun 256H) mengambil tempoh 16 tahun untuk menyiapkan kitab hadis terulungnya, Sahih Bukhari. dalam tempoh itu, beliau telah menjadi musafir ilmu mencari hadis dan mentakhrij hadis dengan berjumpa perawi-perawi dalam satu sanad hadis untuk memastikan setiap sesuatu hadis itu sah dari Nabi S.A.W. Bagaimana pula dengan al-Imam an-Nawawi (lahir tahun 631H, wafat tahun 676H), hidupnya selama 45 tahun, tidak berkahwin kerana cintanya lebih tertumpu kepada ilmu. Selama tempoh itu, beliau menjadi musafir ilmu mempelajari ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain. Alangkah besarnya pengorbanan mereka!


    Bagaimana pula dengan Musafir Ilmu kita (yang tidak semusafir manapun kerana sistem pendidikan sekarang lebih kepada memberi ilmu, bukannya mencari ilmu- itupun malas lagi nak belajar bersungguh-sungguh!)? Tepuk dada, tanya iman. Wallahu Ta'ala A'alam.

No comments:

Post a Comment