Monday 28 November 2011

CINA MUSLIM

     Cina Muslim adalah suatu realiti di dunia. Bilangannya tidak kurang ramainya di dunia. Namun pandangan masyarakat di Malaysia bila disebut orang cina, pasti umat muslim secara automatiknya membayangkan bayangan orang kafir yang beragama Bhudda. Ini adalah simptom yang negatif, perlu dikikis dalam benak seorang muslim. Sampaikan masyarakat sudah lali dengan sebutan 'agama Cina' yang secara hakikatnya bukanlah istilah yang tepat kerana cina bukanlah suatu agama, tapi suatu bangsa. Serupalah seperti istilah 'agama Melayu'. Istilah yang tidak tepat, bahkan kita merasa janggal.

Friday 11 November 2011

NASIHAT BUAT JUNDULLAH DI MEDAN IMTIHAN

     Alhamdulillah. Dua hari lepas saya sempat berkunjung ke sekolah lama saya, Sekolah Agama Menengah Bestari. Dengan membawa jenama Alumni SAMBEST, saya terlibat dengan satu program yang memberi pendedahan mengenai suasana masyarakat di luar sana. Programnya belangsung selepas Isya' hingga pukul 11.00 malam. Dalam kesempatan itu, Saya sempat berjumpa dengan junior-junior yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ada di antara mereka yang meminta saya memberikan tips-tips sebelum peperiksaan. Tips? Apa yang boleh saya berikan?

Saturday 5 November 2011

KISAH SYA'RAWI BUAT SESIAPA YANG BERGELAR PEMIMPIN

Milik siapakah wajah ini? Sudah semestinya bukan wajahku. Inilah wajah Syeikh Muhammad Mutawalli Asy-Sya’râwi (16 April 1911 M. – 17 Jun 1998 M.). Aku tidak mahu menceritakan tentang latar belakangnya. Itu semua orang boleh baca sendiri. Tapi di sini aku mahu membawa cerita ringkas mengenainya yang telah dikisahkan oleh syeikhku, Syeikh Tolbah ketika talaqi kelas Ihya' Ulumuddin. Syeikh aku menceritakan bahawa beliau ialah Menteri Waqaf Mesir zaman pemerintahan Gamal Abdel Nasser (aku berpendapat bukan Gamal Abdel Nasser, tapi Anwar Sadat sebab Gamal Abdel Nasser sudah meninggal sebelum Syeikh Sya'rawi jadi menteri).


MELAYARI BAHTERA KEHIDUPAN...

Hidup..
Umpama suatu pelayaran,
Dalam biduk yang sepi,
Namun terduga atas badai kehidupan,
Mencemaskan.

Siang tidak selalunya cerah,
Kekadang terpalit terik kedukaan,
Yang menghurung teratak sukma,
Yang menutupi seri semalam

Pawana menangis dalam desiran,
Mencarik-carik baju kehidupan,
Mengoyak tubir sukma,
Dalam menghadapi ujian-Nya.

Dan…
Layarnya biduk dalam kejauhan,
Zulmat dan mentari silih berganti,
Sehingga tiba jemputan azali.

ADUH TERJATUH!!

kita jatuh di dada penakluk,
kisahnya bermula di sini,

1511 berdiri dalam kedukaan,
Terlitup dalam sebuah pengkhianatan,
Membunuh bangsa sendiri

Detik berterusan,
melihat satu demi satu terjajah,
dalam zaman yang merencam.

Tanah, hutan semuanya menjadi saksi,
Syuhada’ yang bermati-matian,
Menuntut sebuah kebebasan

BARU SEMALAM AKU MENYELAMI HIDUP SEBAGAI MUSAFIR ILMU

    Baru semalam aku merasakan hidup sebagai musafir ilmu, berkelana mencari kuliah agama. Walaupun musafirku tidaklah sejauh mana, namun ia merupakan sesuatu kelainan bagiku kerana kebaiasaannya aku mengutip ilmu yang sudah terhidang dan dicurahkan oleh mualim-mualim di institusi pendidikan, tanpa perlu mencari, malah diberi. Dan sebenar-benarnya, lumrah ilmu, dicari, bukan mencari penuntut ilmu.


    Bagiku, ini sesuatu yang agak baru, namun bagi mereka, pencinta ilmu, mereka sudah biasa dengan hidup sebagai musafir ilmu. Contohnya seperti beberapa abang-abang seniorku di Darul Quran, kelihatannya mereka sangap mencari ilmu. Oleh sebab mereka dahagakan ilmu, mereka sanggup pergi jauh untuk hadir ke kuliah-kuliah yang dianjurkan. Hujung minggu di kala pelajar lain sibuk 'berlibur', mereka pergi ke pengajian di Batang Kali, Gombak dan lain-lain. Banyak duit mereka habis di jalan 'ke syurga'. Kekadang, mereka sanggup menyewa kereta prebet untuk ke tempat kuliah dan membawanya sendiri. Malam pula bagi mereka cukuplah sekadar tempat yang boleh berehat dan kebiasaannya mereka memilih Rumah Allah sebagai singgahsana di malam hari. Bukan sekadar itu sahaja, mereka selalunya mengorbankan cuti semester mereka berjumpa dengan ilmuwan-ilmuwan di tanah air tercinta untuk menimba serba sedikit ilmu. Cuti semester ini, aku dengar mereka akan membuat daurah nahu  (kursus menguasai tatabahasa Arab) di Kelantan. Aku melihat pada mereka raut wajah Musafir Ilmu Sejati


    Bagaimana pula dengan as-Syafie? al-Hambali? al-Bukhari? al-Ghazali? dan banyak lagi yang lain. Bagaimana dengan sikap mereka terhadap ilmu? Mereka juga Musafir Ilmu. Kalau tadi aku sudah menceritakan musafir abang-abang seniorku yang banyak berkorban demi berada di 'Jalan Syurga'. Bagaimana pula dengan ulama-ulama' yang aku sebutkan tadi? al-Imam as-Syafie pantang mendengar nama ulama' kerana beliau akan menjadi musafir ilmu mencari ulama' untuk menimba ilmu tidak kira walaupun ulama' itu tinggal jauh dan sanggup berjalan kaki kerana ketiadaan kenderaan tunggangan. al-Imam al-Bukhari (lahir tahun 194H, wafat tahun 256H) mengambil tempoh 16 tahun untuk menyiapkan kitab hadis terulungnya, Sahih Bukhari. dalam tempoh itu, beliau telah menjadi musafir ilmu mencari hadis dan mentakhrij hadis dengan berjumpa perawi-perawi dalam satu sanad hadis untuk memastikan setiap sesuatu hadis itu sah dari Nabi S.A.W. Bagaimana pula dengan al-Imam an-Nawawi (lahir tahun 631H, wafat tahun 676H), hidupnya selama 45 tahun, tidak berkahwin kerana cintanya lebih tertumpu kepada ilmu. Selama tempoh itu, beliau menjadi musafir ilmu mempelajari ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain. Alangkah besarnya pengorbanan mereka!


    Bagaimana pula dengan Musafir Ilmu kita (yang tidak semusafir manapun kerana sistem pendidikan sekarang lebih kepada memberi ilmu, bukannya mencari ilmu- itupun malas lagi nak belajar bersungguh-sungguh!)? Tepuk dada, tanya iman. Wallahu Ta'ala A'alam.

SALAM BICARA PENA

Assalamualaikum. Salam bicara pena. Mulai saat ini, kubiarkan pena yang berbicara meskipun diri ini masih mampu berkata-kata. Meskipun aku sedar, tulisan aku kerdil di mata manusia, apatah lagi, di sisi Sang Pencipta. Apa yang pasti, setiap tinta yang kuhabiskan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Rabbul Jalil tika hari yang tiada berguna harta mahupun anak-anak. Doakan agar ia menjadi hujah buatku, bukan ke atas ku, di akhirat kelak...Amin ya Rabbal A'lamin.