Thursday 15 December 2011

SUKA DUKA KOTA SANA'A

     Alhamdulillah pada cuti semester yang lepas, saya diberi kesempatan oleh Allah untuk mengadakan ziarah ke kota purba di tanah Hijjaz, kota Sana'a. Kota ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri bermula dari zaman anak Nabi Nuh A.S. yang bernama Sam. Ibu negara Republik Yaman ini merupakan kota terbesar di Yaman yang mempunyai populasi penduduk hampir mencecah 2 juta. Saya teringat kata-kata yang dikaitkan dengan Imam as-Syafie (meninggal 204H), "La budda min Sana'a" yang membawa maksud, tidak mesti tidak, Sana'a perlu dilihat. Imam as-Syafie telah menjejakkan kaki ke kota purba ini beberapa kali.


Awal Perjalanan


-Penulis (berkopiah) bergambar bersama ahli keluarga ketika sesi taklimat di KLIA-


     Sebelum berlepas ke Yaman, semua ahli rombongan diminta berkumpul dahulu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Kami diberitahu bahawa ziarah ke Yaman dibatalkan dan rombongan hanya akan berhenti sementara sahaja di Sana'a sebelum ke Jeddah. Ketika itu perasaan saya kecewa, namun saya akur ia adalah arahan daripada pihak berkuasa Republik Yaman atas faktor keselamatan memandangkan negara tersebut sedang bergolak ketika itu.

     Setibanya di Sana'a International Airport, kami terpaksa menunggu lebih 3 jam untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di pihak pengurusan. Dalam keadaan yang mendebarkan itu, tiba-tiba kami diberitahu oleh ketua rombongan bahawa ziarah masuk ke Yaman tidak dibatalkan. Pihak berkuasa Republik Yaman sendiri memberi jaminan keselamatan sepanjang perjalanan ziarah. Alhamdulillah, akhirnya Allah memberi keizinan kepada kami untuk menjejakkan kaki ke kota yang bersejarah ini.

First Impression


     Meskipun kami 'tersangkut' agak lama dalam lapangan terbang 'mini' (sangat jauh lebih kecil berbanding KLIA) ini, akhirnya kami dibenarkan keluar dari Sana'a International Airport untuk menghirup udara nyaman kota Sana'a. Memang nyaman dan cuacanya sejuk sedikit berbanding Malaysia dengan suhu lebih kurang 20 darjah celcius pada waktu malam. Di keheningan malam tersebut, kami meneruskan perjalanan ke hotel yang telah disediakan.

     Dalam perjalanan tersebut, maka terbitlah first Impression dek ketika memandang keadaan kota lama Sana'a. Meskipun di waktu malam, namun keadaan kota lama itu tidak mampu disembunyikan di balik zulmat malam. Kemunduran dan pergolakan menghiasi ibu kota ini. Banyak bangunan dalam keadaan yang agak daif dan rosak teruk. Manakala pasukan tentera bersenjata dengan kereta kebalnya boleh dilihat bertebaran di kota ini demi menjaga keselamatan negara.

     Pada keesokan paginya, kami dapat melihat dengan lebih jelas dan dekat keadaan sebenar republik tersebut. Keadaan kota yang penuh suka dan duka. Pada awal pagi sebelum keluar ke kota untuk berziarah, saya sempat beramah mesra dengan pekerja di hotel tersebut. Meskipun terpaksa berbahasa arab, namun kepayahan itu terbalas dengan layanan mesra pekerja tersebut. Malah, salah seorang daripada mereka sudi membawa kami melihat kota Sana'a dari bahagian atas hotel. Saya lihat pekerja-pekerja tersebut semuanya dalam keadaan suka dan tiada raut kebimbangan pada wajah-wajah mereka meskipun negara mereka sedang bergolak. Antara mereka sempat lagi menzahirkan rasa senang mereka dengan menghisap rokok.

-Penulis (berbaju hijau) bergambar bersama adiknya dan pekerja hotel tersebut-

     Namun disebalik kegembiraan sesetengah golongan yang agak selesa dengan keadaan mereka, banyak lagi cerita-cerita duka yang bersenandung di layar perak kota tersebut.

     1. Kemiskinan; pergilah ke mana-mana sudut kota Sana'a ini, pasti kemiskinan tidak dapat disembunyikan lagi. Setiap langkah kami dijejaki oleh orang-orang miskin yang ingin meminta sedekah. Malah sesetengah daripada mereka sanggup mengejar van yang kami naiki di jalan raya ketika keadaan lalu lintas agak perlahan.

     2. Kemunduran; setibanya kami di Republik ini lagi, kami dapat membaca apa yang tersurat di dada kota tersebut. Dengan keadaan lapangan terbang utama mereka yang agak daif, maka tidak hairanlah keadaan kota tersebut agak mundur meskipun kota tersebut merupakan ibu negara Republik tersebut.

     3. Ketegangan; hal ini berlaku akibat pergolakan yang tercetus. Hampir setiap penjuru jalan terdapat pihak tentera yang mengawasi sekiranya terdapat pemberontak yang ingin menimbulkan huru-hara. Malah saya sempat mengambil beberapa keping gambar kereta kebal yang digunakan oleh pihak tentera.

-Gambar kereta kebal tentera yang ditangkap sendiri oleh penulis-


Sana'a Dalam Kaca Mata Sejarah


     Kota purba ini menjadi saksi bisu kerajaan Balqis dengan berpuluh-puluh istana yang gah terbina di muka bumi Allah ini. Namun, kerajaan yang megah ini akhirnya tunduk pada Kerajaan Allah, Raja segala raja yang berkuasa mutlak. Terdapat satu istana yang masih tersergam indah di pinggir kota Sana'a. Istana tersebut dikatakan milik Kerajaan Saba' pimpinan Ratu Balqis. Kami sempat singgah di kawasan tersebut.

 -Gambar yang ditangkap oleh penulis dari bahagian bawah istana-

     Kami tidak sempat masuk ke dalam istana tersebut memandangkan masa yang diberikan agak suntuk. Namun ia sudah cukup memadai kerana kata pemandu pelancong yang bertugas bahawa pemandangan dari luar jauh lebih baik berbanding di dalamnya. Tambahan lagi, pelawat akan dikenakan bayaran yang tinggi sekiranya ingin masuk ke dalam istana tersebut. Sebelum pulang ke hotel penginapan, kami singgah sebentar di kedai cenderamata di kawasan tersebut.


Harapan Buat Republik Yaman


     Baru-baru ini warga Yaman berjaya menyingkirkan presiden, Ali Abdullah Saleh. Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku atas kepimpinan Republik ini. Namun, saya pasti warga Yaman memandang penyingkiran presiden ini sebagai suatu transformasi ke arah keadaan yang lebih baik. Saya tinggalkan harapan dan doa agar suatu hari nanti Yaman akan berada dalam keadaan yang lebih baik. Jauh daripada kemunduran dan berada dalam keadaan aman. -Amin

Wallahu A'alam

2 comments:

  1. MasyaAllah...seronoknya anta!!!
    bila ana boleh pergi ke sana bersama anta???

    ReplyDelete
  2. lps kte grak k timur tgh ta0n dpn...huhu

    ReplyDelete