Monday 16 January 2012

MAHASISWA DAN DEMONSTRASI

     (gambar hiasan)

     Mutakhir ini, kita diwayangkan dengan beberapa siri demonstrasi yang menggemparkan rakyat Malaysia. Dalam kes ini, media memainkan peranan luar biasanya dalam memanaskan berita. Pastinya berita- berita yang dimainkan akan dibaurkan dengan politik kepartian yang tujuannya tidak lain dan tidak bukan untuk 'dedahkan' kepada rakyat akan kepincangan parti lawan. Maka, disiratkan di sebaliknya unsur-unsur tuduhan dan fitnah. Namun persoalan utamanya, adakah demonstrasi dibenarkan?



Harus Demonstrasi

Saya tidak mahu mengulas secara halus isu ini. Yang pasti isu ini mempunyai perbahasan yang terlalu panjang. Ada ilmuan yang membenar dan melarangnya. Namun pendirian saya hukumnya harus dengan syarat. Saya tidak dapat sertakan sekali hujahnya di sini. Mungkin perbincangan ini boleh dilakukan dalam artikel lain yang lebih khusus menceritakan tentang demonstrasi.

Tiada Demokrasi Tanpa Demonstrasi?

     Mungkin ada sesetengah insan lantang berdiri mengatakan bahawa "tiada demokrasi tanpa demonstrasi". Namun hakikatnya banyak negara di dunia mengecapi demokrasi dalam ketidakhadiran demonstrasi. Ini menunjukkan demonstrasi bukanlah elemen yang penting dalam sistem demonstrasi. Malah elemen yang lebih penting dalam ialah kebebasan dan keadilan. Mungkin suatu demonstrasi itu dicetuskan atas dasar kebebasan bersuara. Namun tidak semuanya menuntut keadilan yang sebenar. Sebagai contoh, bagaimana sekiranya suatu hari nanti ada sekelompok manusia mencetuskan demonstrasi atas dasar menuntut kebebasan hubungan sejenis di negara ini? Nauzubillahi min zalik. Mungkin demonstrasi tersebut mengandungi elemen kebebasan. Namun tidak pada keadilan, kerana keadilan tidak menyanggahi yang hak.

Demonstrasi Sebagai Jalan Terakhir

     Demonstrasi bukanlah segala-galanya. Demonstrasi hanyalah jalan terakhir dalam menuntut kebebasan dan keadilan.

     Dalam mengulas isu Bersih 2.0, pastinya saya menyokong 200%. Namun dalam beberapa siri demonstrasi akhir-akhir ini, saya kurang setuju. Seolah-olah hanya demonstrasi sebagai jalan menuntut sesatu keadilan. Apatah lagi yang menjadi tulang belakangnya ialah mahasiswa. Harus diingat, sebagai seorang mahasiswa kita mempunyai satu tanggungjawab yang lebih besar iaitu menuntut ilmu. Jangan salah faham dengan kenyataan ini. Saya tidak melarang atau menghalang politik dalam kalangan mahasiswa. Bahkan pandangan saya adalah harus seseorang itu berpolitik apabila sudah mukallaf. Cuma saya ingin beri penekan terhadap ilmu. Ingatlah, dengan ilmu kita bisa menukar padang pasir yang kering kontang kepada sebuah kota yang maju. Dengan ilmu juga kita mampu melakukan transformasi dengan cara yang penuh hikmah tanpa fitnah kepada agama.

     Jangan pula disebabkan demonstrasi, kita ponteng ke kuliah. Hadir ke kuliah merupakan amanah kepada seseorang mahasiswa. Pasti dan pasti setiap amanah akan dipersoalkan kelak. Cuma apa yang tidak pasti ialah adakah kita mampu menjawabnya di hadapan Sang Pencinta di hari yang tiada perlindungan melainkan perlindungan-Nya.

Wallahu A'alam

2 comments: