Thursday 5 January 2012

SEINDAH MAWAR SYURGA YANG MENGUNTUM


IzInkan Aku Menyentuh Cinta-Mu...
IzInkan Aku Menyentuh Cintamu...

     Desir pawana berlagu di tepian pantai. Merenung hakikat kebesaran Rabbul Alamin. Tiap burung yang berkicauan dalam keizinan-Nya. Tiap unggas yang beterbangan juga dalam pemerhatian-Nya. Subhanallah. Sungguh manusia buta melihat segala unsur yang bertebaran di muka bumi ini. Mereka tertungkum dalam lembah kekufuran. Tersungkur dek dunia yang melalaikan.

     Cinta itu tidak perlu dicari, tetapi ia hadir tanpa diduga. Seperti juga diriku. Aku tidak pernah meminta walau sekelumit cinta bertaut dalam nubariku. Namun gugusan cinta suci itu yang wujud dalam sukmaku. Sebenarnya, perasaan ini merupakan lumrah alam yang tidak pernah menyanggahi tabiat dan naluri seseorang insan.

     Cinta? Apakah yang aku fahami tentang cinta? Cinta ilahi melebihi segala kepentingan dunia dan seisinya. Cinta inilah yang didorong oleh perasaan kasih Tuhan terhadap hamba-Nya dan perasaan cinta hamba terhadap Tuhannya.

     Bagaimana pula dengan cinta sesama manusia?

***

     Sudah setengah dasawarsa aku menuntut ilmu di bumi emas Bestari, mengutip segala jauhar dan manikam yang tersisip rapi pada mulut mualim dan mualimat. Kini, tibalah tahun terakhir aku menuntut ilmu di sini. Dan mungkin sudah tiba masanya aku mengembangkan sayap ilusi ke Ardul Anbia'.

     Perjalanan hidup di sekolah dan asrama sudah sebati dalam hidupku sehingga menjadi lagu yang acapkali dimainkan oleh kolong ilusiku. Dan apabila lagu itu diiramakan dengan Al-Quran dan As-Sunnah, nescaya aku bakal lahir sebagai lelaki acuan Al-Quran yang hidup dalam dakapan Rabbul Alamin. Mengharap cebisan kasih daripada kekasih yang Esa itu.

     Namun aku masih mencari. Mencari sebuah kehidupan yang mampu membimbingku menyertai delegasi syurgawi. Pencarianku itu terhalang oleh hawa nafsu. Nafsu menjadi badai durjana yang menduga bahtera hidupku di tengah segara. Membawa aku ke sebuah pusaran maksiat yang bergelombang duniawi yang amat dahsyat. Wabak wahan yang menjadi musuh nombor satu umat juga sering membedil dinding jiwa untuk menembusi kota jiwa yang luhur. Sedikit demi sedikit dinding jiwa terobek dan wahan itu mulai meresap ke dalam salur darah. Nauzubillah.
***

     Dalam aku mengejar cinta-Nya, cinta insani menyapa tanpa kupinta. Mengetuk pintu hatiku dan menghulurkan salam pertemuan.
***

     Aku di samping buku kehidupan yang sering menemaniku, bersimpuh merenung simfoni alam. Mencanai erti kehidupan yang sudah tersurat. Mengkabus ilusi yang sering bermain di minda cilikku. Dalam diam kotak hatiku berkocakan menduga bisikan asmara. Tapi, adakah bisikan itu merupakan bisikan syaitan?

     Wajah gadis itu bergentayangan dalam pita memoriku. Roman mukanya yang bercahaya seakan-akan sedang melemparkan senyuman kepadaku. Ditambah lagi dengan tona mukanya yang putih-putih susu menghiasi riak wajahnya yang indah itu. Subhanallah.

     Bagiku, dia seindah hiasan dunia. Bukan paras rupa ukurannya. Tetapi akhlaknya yang menjadikannya seorang bidadari syurga yang singgah di dunia. Sebab itulah sukmaku sering berbisik supaya mengenalinya dengan lebih rapat. Aku pernah bertanyakan pada rakanku mengenainya. Ternyata dia seorang yang memelihara dirinya yang berstatus muslimah.

     Balik wajib selama 3 hari ini, aku banyak habiskan dengan membungkam diri di atas katil kerana letai yang membelenggu tubuh badanku. Merehatkan fizikal dan mental yang giat beroperasi di sekolah. Sesekali aku menelaah buku rujukan pelajaran SPM. Memandangkan peperiksaan awam itu semakin menghampiri, aku perlu menyusun strategi pembelajaran yang berkesan agar apa yang aku sasarkan dapat dicapai.

     Sekarang, aku sedang menyiapkan Laporan Minggu Pusat Sumber 2010. Sebagai Setiausaha Pengawas Media 2010, laporan ini merupakan tugas pertamaku semenjak aku menjawat jawatan ini Februari yang lalu.

     Tika aku menaip laporan tersebut, sepi malam mula bertandang. Sunyi pula menemaniku di atmosfera bilik yang paling tenang. Bertemankan kalimantang yang satu itu, cahaya bercampera ke seluruh pelusuk bilik. Tiba-tiba, kedengaran satu suara menyapa fikiranku.

     "Assalamualaikum," sapa satu suara yang aneh. Sapaan itu bukannya sapaan biasa kerana pintu hatiku berjaya diketuknya. Sebenarnya aku tidak pasti dari manakah datangnya suara aneh itu. Mungkinkah suara itu sekadar khayalan yang melintasi ruang legar mindaku. Atau, mungkinkah datangnya dari nubari?

     Sekarang, aku tahu jawapannya! Suara itu datang dari tubir sukma yang paling dalam. Hadir dalam nubari yang seolah-olah mahu membisikkan ayat-ayat cinta. Ya Allah, bantulah aku! Aku benar-benar terjerat dalam ayat-ayat cinta ini. Ayat-ayat cinta yang bukannya terbina atas cinta suci. Sudah pasti ia akan memandu jauh dari Allah.

     Tetapi aku tidak mampu menahannya.

     Aku menekan butang telefon bimbit bagi merangka sebuah pengenalan. Nombor gadis tersebut sudah aku dapat dan simpan dalam 'phonebook'. Nombor tersebut aku dapat dari seorang rakanku di sekolah yang sama tingkatan dengannya.

     “Assalamualaikum. Ini Shahirah Afifah ya?”

     Selang beberapa minit, deringan telefon bimbit kedengaran tanda menerima mesej. Aku membuka peti masuk mesej dan membaca mesej tersebut.

     “Waalaikumussalam. Ya, ana Shahirah Afifah. Anta/Anti siapa?”

     Aku tergamam. Jarang aku lihat orang berkirim mesej menggunakan kata ganti diri ‘ana’ dan ‘anta’. Sebenarnya sejak dulu lagi aku teringin sangat berkirim mesej dengan menggunakan kata ganti diri bahasa syurga ini. Bak kata orang, lebih islamik.

     Apa yang perlu aku balas? Perlukah aku memberitahu siapa diriku yang sebenarnya? Kalau aku beritahu siapa diriku yang sebenar, apakah dia mengenaliku? Kalau dia mengenaliku, tidak mengapa. Tapi kalau sebaliknya, sudah tentu perasaan malu itu bakal menimpa diriku! Maklum sahajalah, dia seorang yang sangat terkenal di sekolah. Sebut sahaja namanya, pasti semua orang mengenalinya. Dia umpama bulan purnama yang bergemerlapan dan dikelilingi gugusan bintang pada zulmat langit malam. Hampir semua pelajar di sekolah mengenalinya. Namanya juga sering meniti di bibir priya-priya ganteng yang sering berbicara soal cinta. Termasuklah diriku yang nihil ini.

     Otakku semakin ligat memikirkan idea bagi mesej balas tersebut. Aku mula berperang dengan kejujuran. Aku mengimbas kembali natijah sekiranya dia tidak mengenali diriku. Sudah pasti akan menyempitkan lagi sesi taarufan yang ingin aku capai. Dan boleh jadi dia tidak akan melayan aku dan menyimpulkan aku sebagai pungguk buruk yang merindui purnama. Bukan setakat itu sahaja, malah mengheret namaku dalam senarai hitam kamus  memorinya. Dan sudah pasti rakannya juga akan mula ‘mengenaliku’ pada label yang buruk.

     Tiba-tiba terdetik pula idea untuk memperkenalkan diriku sebagai Abdullah. Hal ini tidak menyalahi makna kejujuran kerana aku masih tidak melanggar etika dalam berkata-kata. Cara ini juga bukanlah suatu pembohongan kerana aku memperkenalkan diriku sebagai Abdullah, yang bermaksud hamba Allah. Aku mencurahkan idea tersebut dalam bentuk sistem pesanan ringkas.

     “Ana Abdullah.”

     Selang beberapa minit, mesej balas tiba di ruang lagar peti masuk sistem pesanan ringkas. Tanpa berlengah, aku membuka dan membacanya sambil menggendong perasaan entusiasi untuk mengetahui mesej balas gadis tersebut.

     “Ana tahu, semua manusia ialah Abdullah. Beritahulah nama sebenar anta/anti.”

     Sekali lagi benakku terlongo dek satu pertanyaan yang zahirnya mudah, tapi hakikatnya mampu menujah maruah dan erti kejujuran. Kalimat apa yang perlu aku susun untuk menjelaskan situasi aku yang sebenar? Perlukah aku memberitahu nama sebenar aku? Bagaimana pula dengan natijahnya? Satu-satu soalan mula menerjah akalku.

     Bagaimana sekiranya aku memberitahu kunyah aku? Tidaklah aku merasa malu sangat sekiranya dia tidak mengenaliku. Dan seterusnya aku boleh ‘berlakon’ kerana dia tidak mengetahui siapa diriku. Aku mula menulis mesej balas.

     “Ana Khai. Kaifa haluki?”

     “Alhamdulillah. Daripada siapa anta dapat nombor telefon ana?

     Hairan. Kenapa dia tidak menanyakan mengenai siapakah diriku? Adakah dia mengenaliku. Kubiarkan soalan itu bergantungan lantas membalas mesej tadi.

     “Dapat daripada kawan.”

     “Kawan? Siapa kawannya? Anta cari nombor ana?”

     “Tak. Sebenarnya dulu ana cari nombor kawan ana. Entah macam mana ana dapat nombor anti.”

     “Tidak mengapalah. Ana perlu mengehadkan perhubungan dengan orang bukan muhrim. Kalau tiada apa-apa perkara lagi, ana berundur dulu. Assalamualaikum.”

     Aku perlu berfikir bagaimana caranya ingin terus berkirim mesej dengan dia. Tiba-tiba terdetik pula idea untuk bertanya sesuatu kepadanya.

     “Tunggu dulu, saya nak tanya anti mengenai sistem tarbiah di sekolah dan asrama. Apa pendapat anti?”

     “Ana rasa sistem tarbiah perlu lebih halus dan dipergiat dengan lebih kencang. Anta AJK BADAR bukan? Pihak BADAR  perlu lebih berhikmah dalam menyampaikan dakwah. Moga Allah memudahkan kerja dakwah kita.”

     “Anti AJK BADAR juga bukan?”

     “Taklah. Ana tak layak jadi AJK BADAR.”

     “Sebelum ini anti pernah jadi AJK BADAR bukan?”

     “Taklah. Ana tak layak nak tarbiah aspuri itu.”

     “Seperkara lagi, boleh tak anti syorkan lagu-lagu nasyid yang mendidik jiwa dan mampu mentarbiah banin dan banat SAMBESTARI.”

     “Lagu-lagu Maher Zain insyaAllah semuanya mendidik jiwa.”

     “Lagu Maher Zain? Semuanya ana sudah khatam!”

     “Cuba perdengarkan lagu Thank You Allah beserta maknanya sekali.”

     “InsyaAllah. Terima kasih atas cadangan anti. Barakallahu fik.”

     “Sekiranya tiada apa-apa lagi, ana berundur dulu. Assalamualaikum.”

     “Waalaikumussalam.”

     Jauh di sudut hatiku ingin terus berhubung dengannya. Hatiku seolah-olah meruntun dalam makhfi cinta yang baru sahaja terbina. Aku akan cuba sedaya upaya memanjangkan opininya itu berkenaan dengan sistem tarbiah di sekolah kepada pihak-pihak yang berkenaan terutamanya pihak Syafiq Marwan. Seterusnya, aku akan mencadangkan lagu Thank You Allah dendangan Maher Zain itu sebagai haluan telinga pelajar di sekolah. InsyaAllah.

     Malam semakin tua. Laporan sudah sampai pada titik noktahnya. Bola mata aku pula sudah mula tidak fokus. Eloklah kalau aku tidur sekarang supaya aku tidak bangun lewat esok.

***

     Salam taarufan semalam itu benar-benar memberikan aku satu suntikan baru. Walaupun aku masih dalam kesamaran, adakah dia benar-benar mengenaliku, tapi hati kecilku yakin bahawa dia mengenaliku. Jiwaku seolah-seolah dibuai suatu perasaan yang aneh. Mungkin bunga cinta sedang memekar dalam taman hatiku.

***

     Cintaku ini tidaklah seindah mana. Jauh berbeza daripada kisah dalam novel-novel cinta yang pernah kubaca. Dalam novel kebiasaannya si Adam yang digilai ramai kaum Hawa. Namun, realiti yang sedang kualami, aku yang mengharapkan sesuatu yang istimewa daripada si Hawa. Dan aku tidak mampu untuk mengawalnya kerana kisah ini bukanlah seperti novel yang boleh dimanipulasi mengikut kesesuaian. Semua intipati dalam novel itu juga hanyalah rekaan yang tidak pernah wujud di alam nyata.

     Tapi kisah hidupku ini bukanlah suatu ilusi. Bahkan kisah ini merupakan realiti yang perlu kulalui. Aku seolah-olah menyimpan suatu perasaan kepadnya. Tapi bagaimana pula dengan gadis itu. Adakah dia juga mempunyai perasaan yang sama terhadap diriku? Aku rasa tidak, kerana belum tentu dia mengenaliku.

     Tanpa berlengah aku menghantar suatu mesej kepada Shahirah Afifah.

     “Assalamualaikum. Ana nak tanya sedikit. Anti betul-betul mengenali Ana?”

     “Waalaikumussalam. Anta Khairul Akmal bukan? Anta yang masuk musabaqah hafazan MTQ bersama Kak Nik bukan?”

     “Ya. Minta maaf mengganggu. Ana cuma mahu mendapatkan kepastian sahaja. Itu sahaja yang ana mahu tanyakan pada anti.  Assalamualaikum.”

     “Waalaikumussalam.”

     Ternyata dia mengenaliku. Ternyata jiwaku yang kerdil ini dikenali juga oleh pelajar perempuan di sekolah. 

***

     Hari demi hari jiwaku semakin tidak menentu. Seolah-olah setiap saat terfikir mengenainya. Aku mencapai telefon bimbitku di atas meja lantas menghantar sebuah mesej kepadanya.

     “Assalamualaikum. Lau samahtu. Di sini ana nak tanya pendapat anti. Cinta itu fitrah manusia. Salahkah kalau kita jadikan cinta manusia sebagai wahana untuk kita mencapai cinta kita kepada Allah. Sebagai contoh, kita mencintai seseorang yang mencintai Allah.”

     “Waalaikumussalam. Kita tidak perlu mengikut kata hati. Cinta manusia selalunya didorong hawa nafsu. Jadi cinta seperti itu perlu dijauhkan.”

     “Ana rasa tidak semua cinta begitu. Sebagai contoh, cinta pada ibu dan bapa. Cinta itu fitrah.”

     “Cinta seperti itu tidak mengapa. Cuma yang salahnya ialah cinta pada seseorang mengikut nafsu tapi beralasan, cinta kerana Allah. Sebaiknya cinta pada kaum berlainan jenis yang belum menjadi muhrim perlu ditangguh dahulu sebelum masanya. Tidak perlu bercouple. Hal itu akan membuatkan kita lebih hampir pada lembah kemaksiatan. InsyaAllah sekiranya kita baik, kita akan dikurniakan pasangan yang baik. Ingatlah janji Allah, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.”

     “Syukran atas pendapat anti. Assalamualaikum.”

     “Waalaikumussalam.”

     Terasa satu tamparan yang hebat hinggap dipipiku. Ya Allah, janji-Mu pasti benar!

***

     Aku menemukan satu artikel dalam majalah solusi yang bertajuk, Sejauh Manakah Cinta Kita Kepada-Nya?.

     Kalau Allah mencintai seseorang hamba-Nya, Allah akan memberitahu Jibril bahawa Dia mencintai fulan itu. Lalu Jibril menyampaikan pula kepada penduduk langit. Maka, penduduk langit dan bumi reda ke atas fulan tersebut.

     MasyaAllah. Baru aku sedar bahawa Engkaulah sahajalah yang mampu memberikan cinta sejati kepadaku. Engkaulah yang paling mencintai diriku kerana Engkaulah yang menitipkan rasa cinta dalam jiwa manusia. Engkaulah Pencinta Insan yang mencintaiku. Justeru, kepada Engkaulah sepatutnya aku meluahkan rasa cinta ini.

     Aku mula sedar. Rasa tidak berguna juga memenangkan nafsu

     Bukannya mudah untuk menawan hati yang sudah tertawan dek nafsu yang membara. Bukannya mudah melawan arus perasaan yang sedang membadai jiwa ini. Ia memerlukan suatu jihad nafsu yang besar bagi meruntuhkan dermaga keburukan dalam relung atma ini.

     Sedikit demi sedikit, aku cuba tidak berhubung dengannya. Aku tidak lagi berkirim mesej dengannya. Namun aku tetap tidak mampu menahan perasaan ini. Apa yang aku buat hanyalah membuka profil MySpacenya selalu bagi mengubat jiwa yang dahagakan muhasabah ini. Aku sering kali memuhasabah diri pada kalam-kalam yang dinukilnya.

‘ Ya Allah. dimana lagikah dapat ku temui cinta sejati
kecuali pada cintaMu
ke mana lagikah hati ini harus berlabuh
kecuali pada kasihMu
Jadikanlah hati yg lemah ini yaAllah
tertambat kukuh hanya padaMU
Aku mohon redha atas segenap keputusanMu
kesejukan setelah matiku
memandang wajahMu
dan kerinduan untuk berjumpa denganMu
Ampunilah diri ini yang tidak beharga Ya Allah
kehinaannya dengan keindahan maghfirahMu


Atas nama cinta..
"Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah,dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.."
Atas nafas cinta...
Subhanallah..
Alhamdulillah..
Allahu Akhbar..
Jihad cinta buatMu ya Rabb...
Pelihara nadiku untuk sentiasa mengingatiMu..
Pelihara hatiku untuk sentiasa beriman padaMu..

     Kutitipkan namamu dalam doaku.

     “Ya Allah jika dia benar untukku, dekatkan hatinya dengan hatiku. Jika dia bukan milikku damaikanlah hatiku dengan ketentuan-Mu.

***

     Musim syita’ di bumi Kinanah semakin hampir pada penghujungnya. Musim bunga pula akan kunjung tiba. Pengajianku pula sudah masuk ke semester akhir. Alamatnya aku tidak akan lama lagi di sini. Mungkin seminggu selepas mendapat keputusan peperiksaan aku akan pulang ke tanah air tercinta selepas lebih 4 tahun bermusafir di perantauan.

     Sekejap sahaja masa berlalu. Seolah-olah masa itu bergerak terlalu pantas. Kurasakan baru semalam aku memasuki alam persekolahan. Tapi hari ini aku sudah meningkat dewasa. Aku teringat perbualan aku dengan Ustaz Abdur Rahman semalam.

     “Ustaz, ana sebenarnya ada suatu hajat.”

     “Hajat? Apa hajat anta?”

     “Ustaz boleh tolong ana?”

     “InsyaAllah. Apa hajatnya?”

     “Begini Ustaz. Sebenarnya...”

     Diam. Aku cuba mengumpul kekuatan. Bismillahirrahmanirrahim...

     “Sebenarnya ana ingin membina masjid.”

     “Oh, begitu rupanya. Kenapa tidak beriatahu awal-awal?”

     “Belum masanya lagi, Ustaz.”

     “Sekarang?”

     “InsyaAllah ana sudah bersedia.”

     “Calonnya sudah ada?”

     “Itu yang menjadi masalahnya, Ustaz.”

     “Anta nak Ustaz nikahkan anta dengan anak Ustaz?”

    Diam.

     “Ustaz, izinkan ana beristikharah dahulu. InsyaAllah esok ana beri keputusannya.”

     “Kalau begitu, tidak mengapa. Beristikharahlah! InsyaAllah, Allah akan bantu anta membuat keputusan yang terbaik.”

     “Terima kasih Ustaz kerana membantu ana dalam membina baitul muslim. Barakallahu laka.”

     “Syukran ala dua’uk. Kirim salam pada Ibu Bapa kamu.”

     “InsyaAllah. Assalamualaikum.”

     “Waalaikumussalalam.”

                                                            ***            

     Sekarang tiba masanya untukku melakar cinta.

     “Wahai Kekasih sekian lama aku mendamba cinta-Mu. Justeru, malam yang hening ini, aku persembahkan tahajudku ini untuk-Mu. Janganlah Engkau ukur nilai cintaku dengan bersahaja. Tapi Engkau kiralah nilai cintaku dengan rahmat-Mu walau sekelumit.”

     “Ya Allah, tiada Tuhan selain-Mu, dan aku tergolong dalam orang yang zalim. Janganlah Engkau mengira dosa-dosaku yang setinggi gunung ini. Aku memohon maghfirah-Mu.”

     “Ya Rahim, sebelum aku meraih cinta manusia, izinkanku mengucup cinta Pencipta manusia dahulu. Dan Engkau Ya Allah ialah Pencipta manusia. Maka tambatkanlah hati hamba-Mu ini kukuh pada cinta-Mu.”

     “Ya Allah, izinkan aku kembali dalam dakapan-Mu. Meraih cinta-Mu yang tiada tolok bandingnya.”

     “Ya Allah, aku memohon pada-Mu supaya membantuku memberikan keputusan yang terbaik untuk masa hadapanku. Berilah daku petunjuk dalam setiap hela nafasku.”

     “Ya Mujib, aku berteleku pada zulmat malam, mengutip titis doa di malam rahmat, bersama renyai kasih yang mengguyur, ingin melakar cinta di syurga.”

     “Ya Rahman, aku berdoa pada-Mu dalam diri yang tidak pernah ada kudrat selain kudrat kurniaan-Mu. Aku Cuma hamba-Mu yang lemah dan hina.”

     “Wahai Tuhanku, Wahai pemilikku, Engkau lebih mengetahui akan keadaan diriku. Maka doa dan permintaanku ialah tanda kefakiranku. Kutunduk pada-Mu tanda kehinaanku.”

     Amin Ya Rabbal A’lamin.

     Aku menyeka gerimis yang gugur di pipi.

     Ya Allah, izinkan aku menyentuh cinta-Mu...

***

     “InsyaAllah Ustaz, ana bersedia.”

     “Anta tidak mahu lihat bakal isteri anta?”

     “Tidak mengapalah Ustaz. Nanti semasa majlis ana dapat lihat juga bakal isteri ana.”

     “Anta tidak kisah sekiranya bakal isteri anta tidak cantik?”

     “Tidak mengapa Ustaz. Bukannya kecantikan yang memberikan kebahagiaan.”

     “Kalau begitu tidak mengapa. InsyaAllah kita jumpa Jumaat hadapan di Rumah Selangor. Assalamualaikum.”

     “Waalaikumussalam.”

     Talian diputuskan. Jauh di sudut hatiku ingin mengenali bakal bidadari duniaku supaya aku tidak menyesal kelak. Namun, aku tidak mahu mengecewakan Ustaz Abdur Rahman yang kerap membantuku sejak aku  mula menjejakkan kaki di bumi barakah ini. Sebaiknya aku terima sahaja tanpa bertemu dengan anaknya itu  kerana mungkin aku akan berubah fikiran selepas melihat wajahnya. Tidak mengapa, kerana aku mempunyai Kekasih yang lebih agung iaitu cinta pertama dan terakhirku.

     Cukuplah sekadar aku mengetahui serba sedikit biodata tentangnya melalui Azman. Azman ialah anak saudara Ustaz Abdur Rahman yang menuntut di Universiti Al-Azhar cawangan Tanta. Azman memberitahuku bahawa pak ciknya itu mempunyai seorang sahaja anak perempuan yang bernama Shirah. Sudah sahlah dia ialah bakal isteriku. Umurnya setahun lebih muda daripadaku. Dia merupakan pelajar tahun akhir kuliah syariah di Universiti Al-Azhar cawangan pusat di Kaherah. Noktah. Itu sahajalah yang aku tahu mengenainya. Yang lain, mungkin aku perlu bertanyakan sendiri selepas ijab kabul jumaat hadapan.

     Aku tidak kisah siapakah dia bakal isteriku. Yang penting jiwanya diterangi kandil-kandil iman. Dan bonus lagi, dia seorang yang belajar ilmu agama. Lagi mudah untuk aku menjalani kehidupan berumah tangga kerana dia mengetahui batas syariat dan isyarat Allah kekal sampai ke akhir hayat. Amin.

***

     Indah nian pagi ini. Langit pagi pula kebiru-biruan menampakkan keindahan panorama alam sebelum matahari terbit. Rasa nyaman menyusup dalam jisim warakku sejak subuh tadi. Subuh terakhir sebagai seorang bujang. Sayup-sayup suara mama dan papa dalam talian pagi tadi syahdu kedengaran. Jelasnya mereka cuba menyembunyikan kesedihan yang terpalit dalam takwim hayatnya di mana anaknya ini akan mendirikan rumah tangga di perantauan.  Aku rasa mungkin hati kecil mereka tidak mahu membiarkan anaknya meraikan detik-detik bahagia jauh dari sisi mereka. Tapi apakan daya, mereka sudah tahu aku memasang hajat ini sejak aku di bangku sekolah menengah lagi.

     Suasana di Rumah Selangor di hayyu sabik semakin sibuk. Kelihatan Amir, Hakeem dan Shafiq sudah lama menunggu ketibaanku. Merekalah yang selalu memberikan sokongan kepadaku dalam menjalani hidup sebagai penuntut di bumi anbia’ ini. Merekalah teman setiaku sejak aku belajar di Bestari.

     “Kenapa lambat sangat sampai?” tanya Amir sambil menunjukkan jam tangan Rolexnya itu.

     “Maaflah. Tadi ana singgah di tepi sungai Nil sebentar. Menghirup udara segar kota Fustat. Bakal zaujah ana sudah sampai?”

     “Amboi, tak sabar nampak! Kalau iapun tunggulah ijab kabul dulu.”

     “Salah ke ana nak lihat bakal isteri ana? Ana tak pernah lihat mukanya!”

     “Yakah? Kasihannya. Jadi, anta kahwin butalah?”

     “Apa kahwin buta pula. Cukuplah ana tahu namanya, dia belajar di mana, dan yang penting ana kenal benar bapanya.”

     “Hebatlah anta. Tackle bapa dulu, baru tackle anak.”

     “Sudah bapanya tawar pada ana untuk menjadikan ana sebagai menantunya. Dan mungkin inilah jodoh ana.”

     “Untunglah anta, ramai orang berkenan untuk jadikan anta sebagai menantu. Lihat ana, entah bilalah nak berumah tangga!”

     “InsyaAllah ada rezeki. Sudah, sudah. Sudah lama orang tunggu ana di dalam.”

     Aku yang hanya mengenakan baju melayu bewarna emas dan bersongket kelabu terus masuk ke ruang tamu Rumah Selangor. Kelihatan ada seorang wanita berpurdah berhampiran Ustaz Abdur Rahman. Kemungkinan besar dialah bakal zaujahku. Dengan menghela nafas yang panjang, lantas aku mendapatkan tempatku di hadapan Ustaz Abdur Rahman.

***

     Ya Allah! Apakah aku sedang berpijak di bumi-Mu? Apakah aku sedang berbumbungkan langit nyata? Apakah aku sedang duduk berlantaikan jubin realiti? Fikiranku mula tidak menentu selepas melafazkan akad nikah. Seolah-olah jiwa diruntun suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan.

     Bukanlah perasaan itu hadir kerana aku sudah bergelar suami. Tetapi aku telah melafazkan lafaz akad nikah untuk menjadikan wanita itu sebagai teman hidupku. Dan wanita itu mungkin seseorang yang pernah singgah dalam nubari lelakiku ini. Aku tidak tahu bagaimana aturan Allah ini. Tapi sesuatu yang pernah aku anggap mustahil telah terjadi dalam pentas hidupku.

     Ya Allah, apakah benar wanita yang aku nikahi ini ialah hamba-Mu itu. Sekiranya dia benar untukku, maka Engkau benarkanlah bisik hatiku ini. Tetapi jika dia bukan untukku, redakanlah jiwaku dalam menerima kehendak-Mu.

***

     “Assalamualaikum.”

     “Waalaikumussalam”

     “Wahai isteriku yang kukasihi, bukalah purdahmu supaya dapatku lihat wajah indahmu walau sebentar. Moga ia dapat menyejukkan jiwaku walau seketika.”

     “Sebagai isteri, aku serahkan jiwa ragaku padamu wahai suamiku. Kerana aku tahu hanya kaulah yang mampu membimbingku ke taman syurga. Kehendakmu ialah mawar yang menguntum di taman syurga. Aku mencintaimu kerana Allah.”

     Dia membuka purdahnya seketika. Peluang ini aku ambil sebaik-baiknya.

     “Ketahuilah wahai isteriku, cintaku hanyalah satu pada Allah dan Rasulullah. Cintaku hanyalah satu pada ibu bapaku. Cintaku hanyalah satu pada jiwa yang menyintaiku kerana Allah, dan engkaulah insan itu.”

     Aku menyambung kalam. Sambil menyaksikan pemandangan sungai Nil yang mengasyikkan.

     “Aku tidak dapat lagi menahan ayat-ayat cinta yang sudah halal buatmu. Setelah sekian lama inginku sampaikannya, akhirnya Al-Mujib Allah memenangkan doa yang selalu aku aminkan itu.”

Bersaksikan Nil yang tidak pernah jemu mengalir,
Dan kota Fustat yang dikepuk debu-debu kehidupan,
Juga bumi Musa yang penuh barakah,
Aku syukur dalam dakapan Rabbul A’lamin,
Yang menitipkan ayat-ayat cinta.

Bersaksikan langit kirmizi,
Aku menuai cinta insani yang berputik,
Dalam mekar sekuntum mawar syurga,
Yang menabrakkan benih-benih cinta,
Buat jiwa yang mencintaiku
Kerana Rabbul Izzati.

Biarku simpan rasa cinta ini,
Dalam relung atma yang paling dalam,
Kerana kau isteriku,
Shahirah Afifah.

     Lagu For The Rest of My Life tiba-tiba kedengaran di udara.

     Izinkan aku menyentuh cintamu...



Cinta...cinta itu indah selagi kita tidak menodainya....
Cinta itu fitrah dan memang indah dirasakan....

No comments:

Post a Comment