Thursday 22 March 2012

ADA APA DENGAN SPM?



     Pastinya masyarakat sedang sibuk bercerita mengenai keputusan SPM. Kepada pelajar yang mengambil keputusan SPM pastinya mereka sedang bermain dengan perasaan selepas mendapat tahu keputusan yang mereka perolehi. Di sini aku ingin berkongsi perasaan sebagai seseorang yang pernah menduduki peperiksaan tersebut.

     Aku menulis sebagai seorang pelajar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan tersebut. Apa-apa pun Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang memberikan daku kesempatan untuk menduduki peperiksaan tersebut dan menganugerahkan keputusan yang baik.


     Sejujurnya aku agak bersedih sejurus  mengambil slip peperiksaan tersebut. Melihat rakan-rakan lain, sibuk meraikan keputusan yang cemerlang, aku hanya melayan perasaan duka yang menghurung di dada. Petangnya aku tidak pulang ke rumah, sebaliknya aku keluar bersama rakan-rakan mengikuti usrah bersama naqib yang sudah lama tidak ketemu. Semua masih hangat lagi berbicara mengenai keputusan SPM masing-masing. Aku melihat wajah-wajah rakanku yang lain, ramai yang pernah aku atasi keputusan mereka dalam peperiksaan sebelum ini, semuanya mendapat keputusan yang cemerlang dan jauh lebih baik dariku. Jiwaku bertambah perit.

     Keesokan harinya aku pulang ke rumah dengan menggendong berjuta perasaan. Apa yang pasti hatiku bermuram durja seakan-akan tidak boleh menerima takdir yang tersurat. Setibanya di rumah, aku agak terkejut melihatkan banyak pintu bilik di dalam rumahku bertampal kertas A3 yang bertulis namaku dengan ucapan ‘Tahniah kerana mendapat keputusan yang cemerlang 8A 3B!’ Aku menduga bahawa ibu bapaku dapat membaca apa yang tersirat di wajahku ketika menemaniku mengambil slip pada hari semalamnya. Sebab itulah dia menampal kertas-kertas tersebut dengan harapan, moralku akan kembali naik!

     Aku cuba menyoroti kehidupanku sebelum menduduki SPM. Tiada apa yang perlu kutangisi. Yang ada cumalah muhasabah agar masa hadapanku tiada lagi sesalan. Beberapa bulan selepas keputusan dikeluarkan, ketika aku berada di Darul Quran, aku merasa satu perasaan yang aneh pada diriku, aku kembali memegang buku-buku pelajaran SPM dan buku-buku berkaitan bidang perubatan. Pelik, sebab aku sedang dalam menyelesaikan sijil tahfizku, kenapa aku pegang buku ini? Tiada subjek pun yang berkenaan dengan ini. Menurut perancanganku, aku hanya akan menyambung pengajian berkenaan kos yang aku idamkan pada tahun hadapan, tapi aku terdetik untuk mula mempelajarinya.

     Ini suatu petanda yang baik. Dulu aku ingat lagi, sebelum menduduki SPM, terasa berat untuk membuka buku subjek. Kalau buka pun, pasti sebab risau akan peperiksaan yang semakin hampir. Namun kini aku sedar akan kepentingan ilmu. Kepentingan untuk menjadi seorang yang berilmu, bukan sekadar hamba peperiksaan yang hanya megah dengan sekeping slip yang tidak memberi apa-apa mudarat. Aku yakin, Allah pasti mengangkat hamba-hambaNya yang ikhlas menuntut ilmu meskipun dia gagal dalam peperiksaan dunia.
Terasa indah membuka buku-buka lama yang tersimpan rapi di rak-rak buku sebab aku baru sedar nilai ilmu. Sejujurnya di kolej, aku rasa dihargai kerana aku dapat berkongsi kepada rakan-rakan sedikit sebanyak ilmu yang pernah aku dapat dan pelajari. Tidak kisah ilmu apa-apa pun, pasti ia bernilai.

     Sekarang aku bercita-cita untuk menyambung pengajian di Bumi Kinanah dalam bidang perubatan. Meskipun aku nampak kerdil apabila dinilai melalui slip putih yang pernah aku terima semasa keputusan SPM diumumkan. Aku akan buktikan aku mampu menggapai kejayaan yang jauh lebih besar.

     Apa yang aku impikan apabila aku sudah Berjaya ialah aku mahu memberitahu orang ramai, “Alhamdulillah, pelajar yang tak cemerlang SPM sudah Berjaya!”
    
     Aku mahu tunjukkan kepada dunia bahawa aku yang tak cemerlang SPM ini pun mampu Berjaya! Aku mahu gegarkan dunia dalam masa yang sama aku tunduk syukur kepada Allah kerana menangguhkan kejayaanku. Mudah-mudahan ia bukan hanya ilusi…Amin.



No comments:

Post a Comment