Tuesday 3 July 2012

MENTAWAI MENANGIS



     Bulan lepas, sekumpulan Apologetic Muslim dijemput oleh sebuah organisasi Islam di Padang, Indonesia bagi menjayakan kursus untuk sekumpulan pemuda dari Kepulauan Mentawai. Ini semua berikutan musibah yang menimpa bumi Mentawai.

     Bila bercerita mengenai Palestin, tentu ramai Muslim peka terhadap musibah yang menimpa saudara-saudara kita di bumi Palestin. Sebahagian insan, siang dan malam bersoladiriti untuk mengembalikan bumi palestin kepada Muslimin. Semua orang sedar tangisan bumi Palestin yang dimamah baruah Zionis. Tapi, berapa ramai yang sedar tangisan di Kepulauan Mentawai?




(Gambar: Kepulauan Mentawai)

     Kepulauan Mentawai terdiri dari gugusan pulau di Provinsi Sumatera Barat. Kedudukannya menghadap lautan Hindi menyebabkannya mudah terancam dengan gempa bumi dan gelombang lautan Hindi. Buktinya, pada bulan September 2010, Kepulauan Mentawai dikejutkan dengan gempa bumi yang tidak kurang dahsyatnya. Akibat daripada gempa bumi tersebut, Kepulauan Mentawai ranap dan musnah. Namun, bukan itu tangisan sebenar mereka.

     Sekumpulan Apologetic Muslim yang ditaja oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tersebut dibawa ke suatu tempat yang agak daif dengan suatu misi. Apakah sebenarnya Apologetic Muslim itu? Apologetic Muslim merupakan sekumpulan aktivis Muslim yang berkecimpung dalam perbincangan mempertahankan Agama Islam. Apabila munculnya persoalan, mahupun tuduhan yang ditimbulkan oleh misionari non-Muslim terhadap Islam, kumpulan inilah yang akan tampil menjawab semula persoalan atau tuduhan yang diaju oleh misionari non-Muslim tersebut. Tidak kiralah mereka akan bersifat 'defensive' atau 'offensive'. Namun, objektif mereka tetap satu, iaitu mempetahankan agama suci ini. misi mereka dalam lawatan ke Padang untuk menyampaikan ilmu berkaitan dengan perbandingan agama.

(Gambar hiasan)

     "Buat apa nak belajar pasal agama orang lain? Agama sendiri pun tak habis belajar lagi," mungkin ada yang berkata sedemikian. namun, saya tak rasa orang-orang Mentawai akan berkata sedemikian. Mereka sudah celik matanya, otak tak dangkal. Mereka nampak ilmu ini sangat penting, tak seperti orang di negara X yang masih menutup matanya atas alasan bahawa di negara mereka majoriti Muslim. Maka, dakwah kepada Muslim menjadi keutamaan.

     Mungkin kita lupa keringat Al-Ghazali, Ibnu Taimiyah, Ibnul Qayyim dan ulama'-ulama' silam yang lain. Mungkin kita kenal kitab Majmu' Fatawa (Himpunan Fatwa) oleh Ibnu Taimiyah, tapi kita tak kenal Kitab Ar-rad a'la An-Nasoro oleh ulama' yang sama. Mungkin kita kenal Ibnul Qayyim melalui kitabnya, Talbisul Iblis. Tapi dalam masa yang sama, kita tak Ibnul Qayyim dengan kitabnya yang lain, Hidayatul Hayafari fi Ajwibatil Yahuda wan Nasoro. Mungkin kita lupa 1001 muka surat kitab Al Jawabus Sahih liman Badala Al-Masih yang ditulis oleh Ibnu Taimiyah semata-mata menjawab 24 muka surat makalah pertuduhan yang dibuat oleh Paul Antioch, pendeta Kota Sida. Ibnu Taimiyah tidak pernah mencipta alasan untuk tidak bangkit mempertahankan agama Islam, meskipun dia perlu belajar perihal agama Nasrani bagi memudahkan kerja dakwahnya. Mungkin kita ingat perjuangan mereka mempertahankan agama yang kita cintai ini, main-main. Mungkin juga kita anggap tugas mempertahankan agama Islam daripada ancaman luar ini adalah suatu PILIHAN, yang mana kita boleh pilih samada mahu buat atau tidak. Agaknya kita lupa bahawa perkara tersebut pasti akan disoal kelak oleh Allah di hari yang tiada naungan kecuali naungan-Nya. Atau mungkinkah kita yakin, bahawa kita mampu menjadikan persoalan itu sebagai PILIHAN untuk ditanya oleh Allah kelak?

(Gambar: Ahmad Deedat-pakar perbandingan agama)

     Sebenarnya, pemuda-pemuda Mentawai yang meminta agar dihantar sekumpulan Apologetic Muslim yang mahir dalam Kristologi (Ilmu perihal agama Kristian) dari Malaysia untuk merawat duka atas musibah yang menimpa mereka. Ditambah dengan semangat mereka yang membara, sudah cukup untuk membuatkan sekumpulan Apologetic Muslim tersebut menunaikan tuntutan 'ballighu a'nni walau ayah' dalam keadaan seronok.

     Kisahnya begini. September 2010 menyaksikan landskap agama di Kepulauan Mentawai mula berubah. Majoriti Muslim yang suatu ketika dahulu pernah mendiami kepulauan tersebut, berubah menjadi hanya 18% peratus. Keadaan pasca gempa bumi tersebut lagi menyedihkan. Populasi Muslim menjadi kurang daripada 15% akibat daripada wabak kristianisasi yang dibawa oleh misionari-misionari Kristian dari Eropah. Daripada bilangan kurang daripada 15% itu, hanya 2% sahaja yang kaffah, mempraktikkan kehidupan sebagai seorang Muslim. Bakinya hanyut dalam praktikal bukan syariah Islam samada dalam keadaan rela atau terpaksa dek kemiskinan yang membelenggu kehidupan. Dengan bantuan kewangan dan makanan menarik ramai masyarakat Muslim untuk keluar daripada agama Islam.

(Gambar hiasan)

     Inilah dia musibah sebenar yang melanda Mentawai! Musibah aqidah. Tangisan derita pemuda Muslim yang menyaksikan satu-persatu anggota keluarganya dijarah aqidahnya. Sebahagian dalam kalangan mereka hanya mampu merintih dalam jiwa menyaksikan kedua-dua orang tua mereka murtad! Kehadiran misionari Kristian usai Mentawai diranap gempa yang Allah turunkan, benar-benar membuatkan Islam di Mentawai menangis. Dengan hanya sebungkus Mi Ekspres, mereka mampu 'membeli' aqidah Muslimin di Mentawai. Sebab itulah pemuda-pemuda tersebut bersemangat menghadiri kursus perbandingan agama tersebut agar mereka dapat memenangkan kembali jiwa-jiwa insan yang tergadai aqidahnya. Mereka mahu 'membeli' kembali aqidah mereka dengan keimanan, bukan dengan Mi Ekspres!

     Maka dengan itu, marilah kita sahut seruan jihad mempertahankan agama yang kita cintai ini. Persiapkan diri kita dengan ilmu-ilmu berkaitan Islam sebagai benteng melawan arus-arus misionari non Muslim dan juga orientalis. Tuntutlah Ilmu perbandingan agama agar ia menjadi senjata yang berkesan untuk menyeru manusia kepada Islam. Jadikanlah tugas dakwah kepada non-Muslim sebagai suatu kewajipan, bukan PILIHAN kerana hakikat mereka yang non-Muslim itu lahirnya dalam fitrah Islam. Ayuh sahut seruan Mentawai!



Wallahu A'lam

3 comments:

  1. Sebenarnya dakwah kepada Non-muslim dan dakwah kepada Muslim perlu berjalan seiringan, dan tidak boleh dipisahkan. Beginilah yang berlaku di zaman sahabat dulu, mereka memastikan agar 'Yang dikejar tak dapat, yang dijinjing jatuh bertaburan' tidak berlaku keatas diri mereka dan Umat. Kita patut utamakan yang utama dahulu, disamping melengkapkan yang sunnah.

    ReplyDelete