Thursday 28 June 2012

ERTI HIDUP DENGAN MENIMBA PENGALAMAN




     Selesai sudah sesuatu urusan muslim, urusan yang lain perlu diisi. Mengimani firman Tuhan, ‘faiza faraghta fansob’, layar kehidupan mesti diputar terus sebelum kita sampai ke negeri akhirat. Begitu juga sebagai seorang insan biasa, saya mesti meneruskan putaran hidup meskipun susurnya semakin mencabar. Cabaran yang penuh duri dari segenap aspek.

     Selesai saya menamatkan ‘pensijilan’ di Kolej, masa berbaki lebih 3 bulan sebelum seruan mengembara di bumi kinanah sebagai musafir ilmu. Sebelum saya menjadi musafir ilmu di perantauan, saya mengambil keputusan untuk menjadi musafir sementara ke utara tanah air untuk bekerja. Mengembara, dan terus mengembara demi sebuah pengalaman.

     Ramai insan cuba mengertikan kehidupan dengan nikmat kebahagiaan. Tapi, tidak ramai insan yang cuba mengertikan kehidupan dengan nikmat pengalaman yang ditimbanya sebelum mengecapi kebahagiaan tersebut. Manakan wujud sesebuah kebahagiaan walau tanpa secebis pengalaman! Hatta seseorang nenek tua yang hidup bahagia disamping pondok buruknya pun pasti mempunyai pengalaman bersama sang atuk membina sebuah keluarga bahagia. Apatah lagi seseorang hamba Allah yang hidup bahagia dengan kemewahan dan keluarga sejahtera. Pastinya tersingkap berjuta-juta pengalaman dalam kamus sejarah hidupnya.

     Demi pengalaman, aku sanggup redah apa yang aku sangka mustahil; hidup di negeri orang bersendirian tanpa keluarga tercinta. Aku meninggalkan katil yang empuk buat sementara, demi mengajar diri ini agar lebih kuat. Aku meninggalkan waktu kosongku sementara, demi mengajar diri ini agar lebih ‘muslim’. Justeru masa dapat dihargai sebaiknya, mudah-mudahan Allah menambahkan lagi kenikmatan untuk kukecapi pada hari yang mendatang. ‘Kalau kamu bersyukur, aku (Allah) tambah. Kalau kamu kufur, sesungguhnya azab Allah sangat dekat.”

     Kini saya berkelana di rantauan, mencari rezeki yang halal. Pastinya banyak pengalaman yang telah, sedang, dan bakal ditimba. Perkara inilah yang akan menjadi ‘modal’ untuk diceritakan kepada anak cucu kita. Inilah aset yang berharga.


     Kata orang, guru terbaik ialah pengalaman. Ada benarnya kata-kata tersebut memandangkan kita lebih banyak belajar daripada pengalaman. Kita tidak menafikan jasa-jasa guru, kerana pastinya mereka orang yang banyak berjasa. Namun, satu perkara yang kita berkongsi dengan semua insan yang hidup di muka bumi ini, termasuklah guru-guru kita iaitu kita mempunyai guru yang sama iaitu Cikgu ‘Pengalaman’. Cikgu ‘Pengalaman’ ini bukan sekadar mengajar, malah dia menyebabkan kita lebih sedar akan sesuatu perkara. Contohnya, apabila seseorang insan diajar oleh seorang guru sekolah supaya berhati-hati ketika memandu kenderaan, kemungkinan besar, insan tersebut tidak menghiraukan nasihat cikgu tersebut kerana dia belum ada kesedaran. Berbeza dengan satu lagi situasi, apabila seseorang tersebut ‘menerima’ nasihat tersebut daripada Cikgu ‘Pengalaman’, dengan insan tersebut pernah menyaksikan kemalangan jalan raya, pasti insan tersebut akan ‘mendengar’ nasihat itu meskipun dalam tempoh yang sementara kerana dia sudah ada kesedaran untuk berhati-hati di jalan raya.

     Seperti juga saya yang hari ini, sedang belajar untuk menjadi seorang pekerja, agar di masa hadapan dapat menjadi seorang pekerja yang baik. Meskipun kita tidak kaya raya, namun, pengalaman ini sudah cukup untuk membuatkan kita ‘kaya jiwa’. Dengan pengalaman juga, seseorang jutawan belajar untuk membahagiakan semua anggota masyarakat, kerana dia sedar suatu ketika dahulu, dia pernah menjadi seorang yang miskin. Itulah yang dimaksudkan dengan erti hidup dengan menimba pengalaman, bukan semata-mata mengejar kekayaan dunia, tanpa mempedulikan hubungan dengan Allah, hubungan dengan Rasul, juga hubungan dengan makhluk.

     Kita perlu sedar, kebahagiaan hakiki ialah mendapat keredhaan Allah, bukannya dengan mendapat segunung emas mahupun berjuta-juta darjat kemahsyuran.

4 comments: