Friday, 8 February 2013

KHAS BUAT PENCINTA NABI



Jika engkau benar-benar mencintai Nabi
akan engkau turuti segala jejak Al-Amin
walau terpaksa berlaut dugaan 
untuk menekuni sirah yang panjang
sirah seorang insan yang agung.

Jika engkau benar-benar mencintai Nabi
engkau pasti akur dengan jalan Nabi
tiadanya ibadah dengan hawa nafsu
kerana jalan itu sudah terbentang
di bawah tunjuk ajar baginda.

Jika engkau benar-benar mencintai Nabi
engkau pasti jadi insan berguna
memanfaat segala keharusan yang ada
menerajui dunia dengan inovasimu
agar semua takjub dengan agamamu.

Jika engkau benar-benar mencintai Nabi
hentikanlah segala khabar dustamu
tentang kalam-kalam Abul Qasim
yang engkau mudah sandarkannya
walhal ia adalah satu pengkhianatan.

Jika engkau benar-benar mencintai Nabi
ingatanmu bukannya semusim
semusim yang penuh hipokrit dusta
kemudian kau lalai dan leka
kerana kau hanya mengadatkan cinta Nabi.

Jika engkau benar-benar mencintai Nabi
bukan sekadar alunan 'ya habib'
dalam bait syair yang mempersona
tapi menterjemah kalam dalam lembaran
kepada sahsiah seorang umat Nabi.

Jika engkau benar-benar mencintai Nabi
jadilah engkau seorang pencinta Nabi.

Wednesday, 7 November 2012

TEKNIK 'OFR' UNTUK PELAJAR MUMTAZ



     Selepas lebih sebulan berada di bumi Anbiya' ini, banyak yang telah saya pelajari dari murabbi-murabbi yang hebat belaka. Hari ini saya ingin berkongsi beberapa teknik belajar yang dapat saya susun, hasil daripada nasihat dan buah tangan dari doktor-doktor yang mengajar saya ilmu-ilmu perubatan, juga daripada hasil kajian dan pemerhatian saya sendiri. Inilah teknik 'OFR'. Tips ini khusus untuk pelajar ilmu perubatan dan amnya untuk ilmu-ilmu lain yang mudahan-mudahan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan akhirat. InsyaAllah. Semoga Allah memberkati murabbi-murabbi kita. Amin.


Tuesday, 6 November 2012

AKU AKAN TERUS MENULIS...



     Aku kembali menulis selepas lebih 4 bulan kehilangan pena. Aku kembali menulis setelah 4 bulan berada dalam satu petak masa yang penuh dengan ceritera kehidupan. Dan aku kembali menulis selepas hampir 2 bulan di bumi Kinanah yang penuh debu kehidupan.

     Inilah bumi Kinanah yang aku dambakan sejak di bangku sekolah menengah. Walaupun berdebu, namun tiada siapa tahu permata di sebalik debu itu, melainkan insan yang pernah menjejakkan kaki ke bumi Musa ini. Seperti biasa, aku ke sini sebagai musafir ilmu yang ingin menuju jalan Tuhannya.

     Musafir ilmu yang dahagakan ilmu-ilmu Tuhan-Nya. Aku ke sini dengan kudrat anugerah Ilahi, walau secebis tidak aku terdaya. Masakan aku terdaya bengun dari putus harapan di samping maksiat yang menggunung? Pastinya tidak mampu aku kembali tanpa rahmat dan kasih-Nya. 

     Di suatu ketika kau pasti akan terasa tiada daya dan lemah, tiada di sampingmu. Apatah lagi kau keseorangan di bumi yang asing seperti diriku. Tapi kita jangan pernah lupa dengan Kekasih yang Satu itu.

    Dan aku akan terus bangkit berdiri dan terus menulis demi untuk menebarkan kalimat-kalimat Ilahi. Agar aku cekal di bumi kinanah yang mencabar ini, minta doakan wahai sahabat...