Friday 8 February 2013

KHAS BUAT PENCINTA NABI



Jika engkau benar-benar mencintai Nabi
akan engkau turuti segala jejak Al-Amin
walau terpaksa berlaut dugaan 
untuk menekuni sirah yang panjang
sirah seorang insan yang agung.

Jika engkau benar-benar mencintai Nabi
engkau pasti akur dengan jalan Nabi
tiadanya ibadah dengan hawa nafsu
kerana jalan itu sudah terbentang
di bawah tunjuk ajar baginda.

Jika engkau benar-benar mencintai Nabi
engkau pasti jadi insan berguna
memanfaat segala keharusan yang ada
menerajui dunia dengan inovasimu
agar semua takjub dengan agamamu.

Jika engkau benar-benar mencintai Nabi
hentikanlah segala khabar dustamu
tentang kalam-kalam Abul Qasim
yang engkau mudah sandarkannya
walhal ia adalah satu pengkhianatan.

Jika engkau benar-benar mencintai Nabi
ingatanmu bukannya semusim
semusim yang penuh hipokrit dusta
kemudian kau lalai dan leka
kerana kau hanya mengadatkan cinta Nabi.

Jika engkau benar-benar mencintai Nabi
bukan sekadar alunan 'ya habib'
dalam bait syair yang mempersona
tapi menterjemah kalam dalam lembaran
kepada sahsiah seorang umat Nabi.

Jika engkau benar-benar mencintai Nabi
jadilah engkau seorang pencinta Nabi.

2 comments:

  1. Ya. Realiti sekarang, kita sering menyusuli ibadah kita dengan hawa nafsu, jadi jalan ini bukanlah sepertimana disarankan baginda , sedang jalan sebenar telah pun ditunjuk ajar oleh baginda. Oh Rasulullah, sudikah engkau menjadi Pembela ku di Padang Mahsyar nanti?

    ReplyDelete