Selesai
sudah sesuatu urusan muslim, urusan yang lain perlu diisi. Mengimani firman
Tuhan, ‘faiza faraghta fansob’, layar kehidupan mesti diputar terus sebelum
kita sampai ke negeri akhirat. Begitu juga sebagai seorang insan biasa, saya
mesti meneruskan putaran hidup meskipun susurnya semakin mencabar. Cabaran yang
penuh duri dari segenap aspek.
Selesai saya menamatkan ‘pensijilan’ di
Kolej, masa berbaki lebih 3 bulan sebelum seruan mengembara di bumi kinanah
sebagai musafir ilmu. Sebelum saya menjadi musafir ilmu di perantauan, saya
mengambil keputusan untuk menjadi musafir sementara ke utara tanah air untuk
bekerja. Mengembara, dan terus mengembara demi sebuah pengalaman.
Ramai insan cuba mengertikan kehidupan
dengan nikmat kebahagiaan. Tapi, tidak ramai insan yang cuba mengertikan
kehidupan dengan nikmat pengalaman yang ditimbanya sebelum mengecapi
kebahagiaan tersebut. Manakan wujud sesebuah kebahagiaan walau tanpa secebis
pengalaman! Hatta seseorang nenek tua yang hidup bahagia disamping pondok
buruknya pun pasti mempunyai pengalaman bersama sang atuk membina sebuah
keluarga bahagia. Apatah lagi seseorang hamba Allah yang hidup bahagia dengan
kemewahan dan keluarga sejahtera. Pastinya tersingkap berjuta-juta pengalaman
dalam kamus sejarah hidupnya.
Demi pengalaman, aku
sanggup redah apa yang aku sangka mustahil; hidup di negeri orang bersendirian
tanpa keluarga tercinta. Aku meninggalkan katil yang empuk buat sementara, demi
mengajar diri ini agar lebih kuat. Aku meninggalkan waktu kosongku sementara,
demi mengajar diri ini agar lebih ‘muslim’. Justeru masa dapat dihargai
sebaiknya, mudah-mudahan Allah menambahkan lagi kenikmatan untuk kukecapi pada
hari yang mendatang. ‘Kalau kamu bersyukur, aku (Allah) tambah. Kalau kamu
kufur, sesungguhnya azab Allah sangat dekat.”
Kini
saya berkelana di rantauan, mencari rezeki yang halal. Pastinya banyak
pengalaman yang telah, sedang, dan bakal ditimba. Perkara inilah yang akan
menjadi ‘modal’ untuk diceritakan kepada anak cucu kita. Inilah aset yang
berharga.
Kata orang, guru terbaik ialah pengalaman. Ada benarnya kata-kata tersebut memandangkan kita lebih banyak belajar daripada pengalaman. Kita tidak menafikan jasa-jasa guru, kerana pastinya mereka orang yang banyak berjasa. Namun, satu perkara yang kita berkongsi dengan semua insan yang hidup di muka bumi ini, termasuklah guru-guru kita iaitu kita mempunyai guru yang sama iaitu Cikgu ‘Pengalaman’. Cikgu ‘Pengalaman’ ini bukan sekadar mengajar, malah dia menyebabkan kita lebih sedar akan sesuatu perkara. Contohnya, apabila seseorang insan diajar oleh seorang guru sekolah supaya berhati-hati ketika memandu kenderaan, kemungkinan besar, insan tersebut tidak menghiraukan nasihat cikgu tersebut kerana dia belum ada kesedaran. Berbeza dengan satu lagi situasi, apabila seseorang tersebut ‘menerima’ nasihat tersebut daripada Cikgu ‘Pengalaman’, dengan insan tersebut pernah menyaksikan kemalangan jalan raya, pasti insan tersebut akan ‘mendengar’ nasihat itu meskipun dalam tempoh yang sementara kerana dia sudah ada kesedaran untuk berhati-hati di jalan raya.
Seperti juga saya yang hari ini, sedang
belajar untuk menjadi seorang pekerja, agar di masa hadapan dapat menjadi
seorang pekerja yang baik. Meskipun kita tidak kaya raya, namun, pengalaman ini
sudah cukup untuk membuatkan kita ‘kaya jiwa’. Dengan pengalaman juga,
seseorang jutawan belajar untuk membahagiakan semua anggota masyarakat, kerana
dia sedar suatu ketika dahulu, dia pernah menjadi seorang yang miskin. Itulah
yang dimaksudkan dengan erti hidup dengan menimba pengalaman, bukan semata-mata
mengejar kekayaan dunia, tanpa mempedulikan hubungan dengan Allah, hubungan
dengan Rasul, juga hubungan dengan makhluk.
Kita perlu sedar, kebahagiaan hakiki ialah
mendapat keredhaan Allah, bukannya dengan mendapat segunung emas mahupun
berjuta-juta darjat kemahsyuran.
stylo..abg wawan jemput datang blog saya..perjakawawasan.blogspot.com
ReplyDeleteok2...
DeleteTeruskan perjuangan sheikh...
ReplyDeleteUstaz Amat Bagus!
Delete